Skip to main content

Malaysia

Malaysia rangkul tiga gelaran di Cabaran Antarabangsa Remaja

Badminton, Wei Jie - BAM
Wei Jie menghadiahkan gelaran ketiga selepas mencipta kejutan menumpaskan pilihan kedua dari Thailand, Punnatat Prempunpong, 21-16, 21-11, dalam tempoh 47 minit. - Gambar/ BAM

KUALA LUMPUR: Skuad badminton remaja negara menutup kempen dengan cemerlang di Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2026 apabila merangkul tiga daripada lima gelaran yang dipertandingkan di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.

Malaysia memastikan gelaran beregu campuran menjadi milik negara apabila perlawanan akhir menemukan dua pasangan tuan rumah. 

Pilihan kedua kejohanan, Irfan Shazmir-Nur Aina Maisarah Hatta mencipta kejutan dengan menewaskan pasangan pilihan pertama, Ahmad Redzuan-Teh Si Yan, 21-12, 21-18, dalam tempoh 31 minit.

Dominasi Malaysia diteruskan dalam acara beregu lelaki menerusi satu lagi aksi final sesama sendiri apabila Ahmad Redzuan-Isyraf Hafizin menewaskan Damien Ling-Irfan, 21-18, 21-10, dalam masa 39 minit.

Pemain perseorangan lelaki negara, Tiew Wei Jie turut cemerlang menghadiahkan gelaran ketiga selepas mencipta kejutan menumpaskan pilihan kedua dari Thailand, Punnatat Prempunpong, 21-16, 21-11, dalam tempoh 47 minit.

“Untuk kejohanan ini saya ambil pendekatan selangkah demi selangkah, tapi bila dah masuk final memang saya sasar untuk menang.

“Malah sebelum perlawanan ini saya sudah kaji kekuatan dan kelemahan lawan,” kata Wei Jie ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, harapan Malaysia untuk meraih gelaran keempat tidak kesampaian apabila beregu wanita, Rachel Tan-Xin Yin Teh tewas kepada pasangan Thailand, Chantharat Marndakul-Pearploy Suttiwarayanon, 15-21, 12-21, dalam pertarungan selama 47 minit.

Acara perseorangan wanita pula menyaksikan pemain Thailand, Kungkaew Kakanik bergelar juara selepas menumpaskan Chin Yun Cheng dari Taiwan, 21-19, 21-15, dalam masa 43 minit.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement