Skip to main content

Dunia

Presiden baharu Bangladesh bakal dipilih pada sesi parlimen September - Menteri

Md Asaduzzaman
Menteri Undang-Undang Bangladesh Md Asaduzzaman. - Foto Kehakiman Bangladesh

DHAKA: Bangladesh bakal memilih presiden baharu apabila parlimen bersidang pada September ini, kata seorang menteri, lapor Xinhua.

Di bawah Perlembagaan, pemilihan presiden mesti diadakan dalam tempoh 90 hari selepas pengunduran presiden, kata Menteri Undang-Undang Md Asaduzzaman kepada wartawan di sini pada Sabtu.

Sesi kedua parlimen berakhir pada 15 Julai, manakala sesi ketiga mesti dipanggil dalam tempoh dua bulan, iaitu sebelum 14 Sept.

Sekretariat Parlimen  mengesahkan kepada media pada Jumaat bahawa Speaker Hafiz Uddin Ahmad telah mula menjalankan tugas-tugas presiden mengikut Perlembagaan berikutan peletakan jawatan Mohammed Shahabuddin Chuppu.

Bercakap kepada Xinhua, Setiausaha Akhbar kepada Presiden Md Sarwar Alam mengesahkan bahawa Shahabuddin telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada speaker atas alasan masalah kesihatan yang serius.

Mengikut Perlembagaan Bangladesh, Ahli-Ahli parlimen merupakan pengundi dalam pemilihan presiden.

Memandangkan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinan Perdana Menteri Tarique Rahman memegang majoriti di parlimen, calon yang dinamakan oleh parti itu dijangka akan dipilih sebagai Presiden Bangladesh yang seterusnya.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement