Skip to main content

Sukan

Tewas dengan perbezaan satu kilogram memang perit – Irene Jane

GLASGOW, July 26 -- National women's weightlifter Irene Jane Henry in action in the women's 48kg category at the Glasgow 2026 Commonwealth Games held at the Scottish Event Campus (SEC) Armadillo today.  Irene won the bronze medal with a combined lift of 167kg.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Irene Jane berdepan detik mencemaskan dalam disiplin clean and jerk apabila percubaan pertamanya dengan beban 90kg tidak disahkan. --fotoBERNAMA

GLASGOW: Terlepas pingat perak dengan perbezaan hanya satu kilogram sememangnya mengecewakan, namun atlet angkat berat wanita negara Irene Jane Henry tetap bersyukur meraih gangsa pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini semalam.

Irene Jane menamatkan saingan kategori 48 kilogram (kg) wanita di tempat ketiga dengan jumlah angkatan 167kg, hanya satu kilogram di belakang pemenang pingat perak dari Nigeria, Ruth Asuquo Nyong.

Pada pertandingan itu, beliau tampil konsisten dalam disiplin snatch apabila berjaya menyempurnakan ketiga-tiga percubaan, bermula dengan angkatan 72kg sebelum meningkatkannya kepada 75kg dan 77kg.

Bagaimanapun, atlet berusia 21 tahun dari Sabah itu berdepan detik mencemaskan dalam disiplin clean and jerk apabila percubaan pertamanya dengan beban 90kg tidak disahkan.

Kem negara kemudian mencabar keputusan berkenaan, namun rayuan itu ditolak sebelum Irene Jane bangkit menyempurnakan angkatan 90kg pada percubaan kedua.

Percubaan terakhirnya dengan beban 93kg, yang berpotensi meningkatkan jumlah keseluruhan angkatan kepada 170kg sekali gus menghadiahkannya pingat perak, turut gagal.

Irene Jane berkata perasaan gementar dan takut menyelubunginya ketika menunggu giliran di belakang platform, namun tekad untuk berjuang mendapatkan pingat mengatasi segala-galanya.

“Di belakang pentas tadi, saya memang betul-betul gementar dan takut. Namun, saya tetap mahu melawan dan sekurang-kurangnya berjuang untuk mendapatkan pingat,” kata anak jati Tambunan itu kepada Bernama selepas pertandingan di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.

Mengulas kegagalan angkatan 93kg itu, anak ketiga daripada enam beradik berkenaan mengakui keputusan tersebut sukar diterima kerana beliau pernah melakukannya beberapa kali ketika sesi latihan.

“Saya rasa mungkin belum rezeki saya walaupun sudah banyak kali melakukan angkatan 93kg. Mungkin keadaan badan saya hari ini sedikit kurang baik.

“Kalah satu kilogram itu memang menyakitkan, tapi saya sudah melakukan yang terbaik. Saya tidak boleh meminta angkatan tambahan kerana hanya ada tiga percubaan, jadi saya hanya mampu berserah,” katanya.

Pingat emas menjadi milik jaguh India Mirabai Chanu yang merekodkan jumlah angkatan 190kg, manakala Ruth meraih perak dengan catatan 168kg.

Irene Jane berkata pingat gangsa itu amat bermakna kerana beliau berjaya mencapai sasaran peribadi untuk menaiki podium pada penampilan pertamanya di temasya berprestij berkenaan.

“Walaupun tidak memperoleh pingat perak, saya tetap bersyukur dapat menghadiahkan pingat gangsa kepada Malaysia. Kepada keluarga dan penyokong di Malaysia, terutamanya dari Sabah, terima kasih atas segala sokongan dan doa. Saya membalasnya dengan pingat gangsa ini,” katanya.

Kejayaan Irene Jane menambah koleksi pingat kontinjen negara dalam acara angkat berat selepas Mohamad Aniq Kasdan menghadiahkan emas pertama Malaysia menerusi kategori 60kg lelaki.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement