Skip to main content

Bisnes

Ringgit ditutup tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama, rendah berbanding dolar AS

71762835969_matawangringgit.jpg
Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.0885/0930 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0875 ketika ditutup semalam. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama namun rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan sentimen pelabur yang berhati-hati menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedahnya minggu ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.0885/0930 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0875 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus diniagakan dalam julat sempit apabila peserta pasaran menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) yang diadakan pada 28 dan 29 Julai.

"Pasaran mahu melihat penilaian terkini Fed terhadap ekonomi AS serta panduan mengenai prospek kadar faedah AS," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak mentah global menunjukkan trend penurunan apabila rundingan antara AS dan Iran disambung semula justeru, meningkatkan harapan terhadap kemungkinan pembukaan semula Selat Hormuz dan keredaan ketegangan ketenteraan di Asia Barat.

Pada akhir dagangan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.4948/4976 daripada 2.4969/4994 serta meningkat berbanding euro kepada 4.6429/6480 daripada 4.6536/6581.

Unit tempatan juga mengukuh berbanding pound British kepada 5.4287/4347 daripada 5.4433/4486 ketika ditutup pada Isnin.

Ringgit juga tinggi berbanding kebanyakan mata wang negara serantau ASEAN.

Mata wang tempatan lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 226.0/226.4 daripada 226.7/227.0 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1603/1640 daripada 3.1653/1686.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1494/1681 daripada 12.1612/1775 dan turun berbanding peso Filipina kepada 6.63/6.64 daripada 6.62/6.63 semalam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement