Skip to main content

Malaysia

Keuntungan NEKMAT lebih RM25 juta bukti kecekapan pengurusan - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berucap sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) kali ke-41 di sini, hari ini.  Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah NEKMAT Abdul Hamid Bahari (kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA    KUALA LUMPUR, July 28 -- Agriculture and Food Security Minister Datuk Seri Mohamad Sabu delivering his speech before officiating the 41st Annual General Meeting of the National F
Mohamad Sabu pada Mesyuarat Agung Tahunan NEKMAT kali ke-41 hari ini. Turut hadir Abdul Hamid (kanan). - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) mencatat keuntungan melebihi RM25 juta pada 2025 berbanding RM11 juta tahun sebelumnya, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata keuntungan itu turut disalurkan secara konsisten kepada dana kebajikan dan pendidikan nelayan sekali gus membuktikan keupayaan NEKMAT menjana pulangan yang memberi manfaat kepada komuniti berkenaan.

"Ini membuktikan kecekapan pengurusan dan komitmen tinggi dalam memajukan sektor perikanan negara," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NEKMAT kali ke-41 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi Lembaga Pengarah NEKMAT Abdul Hamid Bahari serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Mohd Faiz Fadzil.

Mohamad berkata minggu lepas, pengurusan tertinggi NEKMAT telah membentangkan cadangan projek dan program pembangunan persatuan nelayan di seluruh negara yang melibatkan peruntukan puluhan juta ringgit, yang akan dibawa kepada Kementerian Kewangan semasa perbincangan Bajet 2027 serta menjadi antara keutamaan KPKM.

Terdahulu, beliau menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara NEKMAT dan Green Borneo Eco Land Sdn Bhd yang disusuli penyampaian sumbangan kepada Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM).

Sementara itu, Abdul Hamid berkata peningkatan keuntungan tahun ini membolehkan agihan dividen sebanyak 15 peratus kepada Persatuan Nelayan Kawasan negeri, meningkat daripada sembilan peratus pada tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan prestasi kewangan itu didorong oleh perkembangan pelbagai aktiviti perniagaan NEKMAT termasuk jualan diesel borong dan runcit, perusahaan ais, ternakan udang, pengangkutan, pemasaran serta pembangunan perumahan nelayan.

"Kita yakin prestasi pada tahun ini akan melebihi tahun sebelumnya," kata Abdul Hamid.

Menyentuh mengenai kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial, beliau berkata skim perlindungan baharu untuk nelayan kini menawarkan subsidi kerajaan, dan mereka hanya perlu membayar RM70 setahun berbanding kadar caruman sebenar sebanyak RM231.20.

Abdul Hamid juga berkata skim itu, yang mula dilaksanakan bulan ini, tidak mempunyai had umur dan menawarkan pelbagai manfaat termasuk pampasan kematian sebanyak RM3,000.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement