Skip to main content

Dunia

Syria dedah usaha capai perjanjian keselamatan dengan Israel

FILE PHOTO: Syrian President Ahmed Al-Sharaa is welcomed by Cyprus President Nikos Christodoulides (not pictured) on the day of a summit of the European Union and regional partners' leaders in Nicosia (Lefkosia), Cyprus, April 24, 2026. REUTERS/Yves Herman/Pool/File Photo
Al-Sharaa berkata Damsyik berharap perjanjian tersebut dapat menjadi titik permulaan ke arah penyelesaian konflik yang lebih luas antara kedua-dua pihak. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, mendedahkan bahawa kerajaannya sedang berusaha mencapai perjanjian keselamatan dengan Israel menerusi penglibatan beberapa negara sebagai sebahagian daripada usaha meredakan ketegangan dan membuka jalan ke arah keamanan yang lebih menyeluruh di rantau itu.

Dalam wawancara eksklusif bersama program Al Muqabala terbitan Al Jazeera, al-Sharaa berkata Damsyik berharap perjanjian tersebut dapat menjadi titik permulaan ke arah penyelesaian konflik yang lebih luas antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang perjanjian yang dicapai tidak akan menjejaskan hak Syria terhadap Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel.

Beliau turut menegaskan bahawa Syria berusaha mengelakkan sebarang konfrontasi ketenteraan dengan Israel dan percaya mekanisme keselamatan mampu membuka ruang kepada penyelesaian krisis yang lebih komprehensif.

Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan terus memuncak susulan beberapa siri serangan dan pencerobohan Israel di selatan Syria sejak al-Sharaa mengambil alih tampuk pemerintahan selepas kejatuhan kerajaan Bashar al-Assad pada Disember 2024.

Menyentuh isu Lubnan, al-Sharaa menafikan khabar angin bahawa Syria merancang campur tangan ketenteraan di negara jiran itu.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan Syria sedang berbincang dengan pihak berkuasa Lubnan mengenai kaedah membantu negara itu keluar daripada krisis semasa dan mengembalikan kestabilan.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan negara Lubnan sebagai satu-satunya pihak yang berhak menentukan soal perang dan damai serta mengawal pemilikan senjata di negara berkenaan.

Al-Sharaa memberi amaran bahawa sebarang kemerosotan keselamatan di Lubnan akan memberi kesan langsung kepada Syria, selain konflik yang semakin meluas di rantau itu berpotensi mencetuskan implikasi besar terhadap kestabilan serantau.

Dalam isu domestik, beliau berkata pemulihan ekonomi Syria memerlukan lebih daripada sekadar penarikan balik sekatan antarabangsa.

Menurutnya, Syria juga perlu dikeluarkan daripada senarai negara yang didakwa menaja keganasan bagi membolehkan negara itu kembali pulih secara menyeluruh.

Al-Sharaa turut mengulas perjanjian antara kerajaan Syria dan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui kumpulan Kurdish.

Walaupun mengakui pelaksanaannya mengalami kelewatan, beliau menegaskan kerajaan tetap komited untuk memastikan perjanjian tersebut berjaya dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat nasib individu yang hilang sepanjang konflik Syria antara 2011 hingga 2024.

Jawatankuasa itu akan beroperasi mengikut piawaian antarabangsa dan bekerjasama dengan negara-negara yang mempunyai kepakaran dalam usaha menjejaki mangsa yang hilang.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 100,000 individu dipercayai hilang secara paksa sepanjang konflik Syria, manakala Suruhanjaya Kebangsaan Orang Hilang Syria menganggarkan jumlah sebenar mungkin mencecah 300,000 orang.
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement