Skip to main content

Dunia

Angka korban Ebola di Congo meningkat kepada 1,405 orang

Medical workers dressed in personal protective equipment (PPE) disinfect and wash their hands at an Ebola treatment centre during a ceremony to present recovery certificates to patients at the Rwambara General Reference Hospital in Bunia, eastern Democratic Republic of Congo, June 16, 2026. REUTERS
Data terkini yang dikeluarkan kerajaan DRC menunjukkan wabak berkenaan masih merebak dengan pantas. - Foto fail/REUTERS

DAKAR: Jumlah kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC) terus meningkat apabila pihak berkuasa melaporkan 3,200 kes jangkitan setakat Ahad, termasuk 1,405 kematian.

Data terkini yang dikeluarkan kerajaan DRC menunjukkan wabak berkenaan masih merebak dengan pantas, sekali gus menambah kebimbangan terhadap keupayaan sistem kesihatan negara itu untuk mengawal penularan penyakit berkenaan.

Wabak Ebola yang sedang melanda DRC merupakan penularan ke-17 penyakit itu di negara Afrika Tengah berkenaan.

Ia melibatkan strain Bundibugyo, iaitu varian Ebola yang jarang ditemui dan sehingga kini masih belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa jumlah sebenar jangkitan mungkin lebih tinggi daripada angka rasmi berikutan cabaran pengesanan kes di kawasan yang terjejas.

Usaha membendung wabak turut berdepan pelbagai kekangan termasuk konflik bersenjata, kemudahan kesihatan yang terhad serta kesukaran menjejaki kontak rapat pesakit di beberapa kawasan timur DRC.

Pihak berkuasa kesihatan bersama rakan antarabangsa terus mempergiatkan langkah pengawasan, pengesanan kontak dan rawatan pesakit dalam usaha membendung penularan wabak yang kini antara yang paling serius pernah direkodkan di negara itu.
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement