NAYPYIDAW: Parlimen Myanmar yang disokong tentera meluluskan undang-undang baharu yang memperuntukkan hukuman mati terhadap individu yang menggunakan keganasan, penyeksaan, penahanan tidak sah atau layanan kejam bagi memaksa mangsa terlibat dalam operasi penipuan dalam talian.
Kelulusan itu dibuat menerusi pengesahan Rang Undang-Undang Anti-Penipuan Dalam Talian pada mesyuarat bersama dewan rakyat dan dewan negara di Naypyidaw pada Selasa.
Speaker Parlimen Kesatuan, Aung Lin Dwe, mengumumkan kelulusan rang undang-undang berkenaan menerusi siaran langsung televisyen rasmi kerajaan.
Ahli Parlimen Dewan Rakyat, Aye Chan, kemudian mengesahkan kepada media bahawa hukuman mati kekal dalam versi akhir undang-undang yang diluluskan itu.
Mengikut peruntukan undang-undang tersebut, hukuman antara 10 tahun penjara hingga hukuman mati boleh dikenakan bagi kesalahan melibatkan keganasan, penyeksaan, penahanan tidak sah atau layanan kejam terhadap individu bagi memaksa mereka melakukan penipuan dalam talian.
Sekiranya perbuatan itu menyebabkan kematian mangsa, hukuman mati boleh dijatuhkan.
Undang-undang itu turut memperuntukkan hukuman maksimum penjara seumur hidup terhadap individu yang mengendalikan pusat penipuan dalam talian serta mereka yang terlibat dalam penipuan berasaskan mata wang kripto.
Langkah berkenaan diambil ketika operasi pusat penipuan internet berskala besar terus berkembang di beberapa kawasan Myanmar yang terjejas akibat konflik bersenjata dan perang saudara yang berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.
Undang-undang itu merupakan perundangan pertama yang diluluskan oleh kerajaan baharu Myanmar yang diketuai bekas ketua junta, Min Aung Hlaing.
Pilihan raya yang membawa kepada pembentukan kerajaan tersebut sebelum ini menerima kritikan meluas daripada negara Barat dan pertubuhan pemantau demokrasi, manakala beberapa penganalisis menganggap parlimen yang disokong tentera itu sebagai badan yang sekadar meluluskan dasar kerajaan.
Kegiatan penipuan dalam talian bernilai berbilion dolar di Myanmar turut mencetuskan kebimbangan serantau, termasuk dakwaan pemerdagangan manusia dan penderaan warga asing yang dipaksa bekerja di pusat penipuan berkenaan.