SEREMBAN: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpotensi mengubah landskap politik negeri itu menerusi pertambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dakwa Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Setiausaha Agung Pas itu berkata, DUN yang mempunyai jumlah pengundi besar dan kini diwakili PH berkemungkinan dipecahkan kepada beberapa kawasan baharu pada masa hadapan.
“Bayangkan kalau PH menang lagi, mereka mungkin akan pecahkan DUN yang besar-besar, yang sekarang mungkin diwakili DAP dan Pakatan Harapan.
“Satu DUN akan menjadi tiga DUN. Jadi, ketiga-tiga DUN ini akan dimenangi oleh mereka,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Ampangan, di sini, pada Selasa.
Menurut Takiyuddin, keadaan itu didakwa boleh menyukarkan parti lain, khususnya PN, Pas dan Barisan Nasional (BN), untuk membentuk kerajaan negeri pada masa hadapan.
Takiyuddin berkata, Negeri Sembilan ketika ini mempunyai 36 kerusi DUN dan mana-mana gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi bagi memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Beliau mendakwa, pertambahan bilangan kerusi DUN pada masa hadapan akan memberi kelebihan kepada PH, sekali gus mengecilkan peluang PN dan Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih pentadbiran negeri.
Untuk rekod, sebarang pertambahan bilangan kerusi DUN tidak berlaku secara automatik, sebaliknya perlu melalui pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Selepas itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjalankan kajian persempadanan semula mengikut Perkara 113 serta Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan sebelum sebarang kerusi baharu boleh diwujudkan.
Di Negeri Sembilan, pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri pada asasnya memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tertakluk kepada peruntukan yang berkuat kuasa.