KUALA LUMPUR: Iran menuntut ganti rugi terhadap kerugian dialami susulan serangan ke atas sebuah kapal awamnya, meskipun Ukraine memberi jaminan bahawa insiden berkenaan berlaku secara tidak sengaja.
Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi berkata, jaminan itu disampaikan oleh rakan sejawatannya dari Ukraine, Andrii Sybiha, dalam satu perbualan antara kedua-dua pihak.
Menurut Araghchi, Sybiha turut menegaskan bahawa Kyiv tidak berhasrat mencetuskan peningkatan ketegangan dengan Tehran.
“Iran juga tidak mahukan eskalasi, namun sebarang serangan terhadap rakyat atau kepentingan kami tidak boleh diterima, kerugian yang berlaku perlu diganti,” katanya menerusi hantaran di platform X semalam.
Dalam hantaran berasingan, Sybiha memaklumkan, beliau menghubungi Araghchi bagi mengadakan perbincangan secara terus dan terbuka mengenai insiden berkenaan.
Beliau menegaskan, semua tindakan Ukraine bertujuan mempertahankan negaranya daripada serangan Rusia dan tidak pernah dirancang untuk menyasarkan kapal awam atau orang awam.
Sybiha turut merujuk kepada kenyataan Iran mengenai seorang warganya yang maut serta sebuah kapal awam Iran yang menjadi sasaran dalam insiden terbaharu.
Bagaimanapun, beliau menyalahkan Rusia sebagai punca utama kepada semua insiden dan korban yang berlaku dalam konflik berkenaan.
Beliau turut menggesa semua pihak mengelakkan sebarang langkah yang boleh meningkatkan ketegangan, selain menyeru supaya sokongan terhadap perang Rusia di Ukraine dihentikan.
“Pendirian kami kekal tidak berubah, Eropah dan Asia Barat berhak menikmati kestabilan, keselamatan dan keamanan,” kata Sybiha.
Pada 25 Julai lalu, Iran mendakwa sebuah kapal komersial miliknya diserang ketika belayar di Laut Caspian, mengakibatkan seorang kelasi warga Iran terbunuh manakala seorang lagi cedera.
Tehran menyifatkan insiden itu sebagai serangan terhadap kepentingan awam Iran dan menuntut penjelasan daripada Kyiv.
Sebagai susulan, Kementerian Luar Iran memanggil Kuasa Usaha Ukraine di Tehran untuk mengemukakan bantahan rasmi.
Iran turut menegaskan bahawa sebarang tindakan yang mengancam keselamatan rakyat atau asetnya adalah tidak boleh diterima dan berhak mendapat pampasan mengikut undang-undang antarabangsa.