Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin gesa kempen berteraskan dasar, bukan sentimen perkauman

TB_AMINUDDIN HARUN PH_AWANI
Aminuddin ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Rabu. - Foto Astro AWANI

PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa semua pihak menghentikan politik berasaskan sentimen perkauman dan agama sepanjang kempen Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) ini.

Menurut beliau, tumpuan kempen seharusnya diberikan kepada tawaran, dasar serta rekod pencapaian yang boleh dinilai rakyat, bukannya memainkan naratif yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Aminuddin berkata, PH memilih untuk mengetengahkan laporan pencapaian pentadbiran sebagai asas meraih sokongan pengundi, manakala beliau mendakwa pihak lawan masih memainkan naratif berkaitan kaum dan mengaitkan DAP sebagai modal kempen.

“Apa yang telah kami lakukan sebagai report card kami kepada rakyat untuk dinilai oleh mereka. Manakala pihak pembangkang masih dengan naratif perkauman dan naratif DAP yang dibawa, serta saya nampak bahawa itu dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) atas gabungan mereka.

“Manakala Wawasan kami nampak mereka juga sama dengan PN dan bagi Bersatu, kami kurang nampak menyerlah dalam isu yang dibawa berhubung dengan masyarakat setempat dalam meraih undi mereka. Jadi ada dua perbezaan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Rabu.

Selain itu, merujuk kepada satu laporan polis yang dibuat susulan penularan semula gambar lama melibatkan karikatur yang didakwa menghina Sultan Selangor yang kononnya didakwa dibuat oleh DAP, Aminuddin berkata perkara itu tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen politik.

Katanya, pertandingan dalam pilihan raya perlu berteraskan perancangan pembangunan dan hala tuju untuk lima tahun akan datang, bukannya membangkitkan isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Ada satu laporan polis mengenai satu (karikatur) yang tular, menyatakan tentang gambar, gambar yang lama dimainkan di Selangor mengenai Sultan Selangor, kononnya dibuat oleh DAP, dimainkan.

“Dan ini antara perkara yang saya nampak bahawa sepatutnya kita bertanding, untuk kita menghadapi pilihan raya ini bukan kita mencari naratif perkauman ataupun agama, tetapi kita harus kuatkan naratif kita tentang apakah sebenarnya yang ingin kita bawa kepada rakyat selepas ini untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Ini yang sepatutnya dibawa, bukannya hanya naratif memainkan semangat perkauman dan bangsa,” katanya lagi.

Pada Rabu, DAP membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli, susulan dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan karikatur menghina Sultan Selangor ketika berkempen, di Seremban Jaya, baru-baru ini.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan terhadap Shamsulkahar berhubung ucapannya ketika kempen tersebut yang didakwa mengandungi unsur hasutan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata siasatan itu dibuat susulan laporan oleh seorang lelaki berusia 55 tahun yang tidak berpuas hati dengan hantaran video menerusi media sosial yang memaparkan ucapan ahli politik itu ketika berkempen. 

Must Watch Video

Advertisement