Skip to main content

Malaysia

Hina mahkamah: Hormat keputusan, kekal pertahan prinsip akauntabiliti institusi awam - Mohd Shafie

Shafie Apdal hina mahkamah -- AWANI
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) dan Datuk Loretto Padua Jr (kanan) di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. - Foto Parti Warisan

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menghormati keputusan mahkamah dalam prosiding penghinaan mahkamah berkaitan kenyataan yang dibuatnya berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataan pada Rabu, beliau menegaskan tekad untuk terus komited berkhidmat demi mempertahankan prinsip kebenaran, keadilan dan akauntabiliti institusi awam, disamping memaklumkan rayuan terhadap keputusan itu akan difailkan.

"Biarlah proses undang-undang berjalan mengikut lunasnya. Namun begitu, amanah saya kepada rakyat tetap tidak berubah.

"Sejak dari awal, perkara ini bukan mengenai diri saya. Ia mengenai pemergian seorang kanak-kanak yang telah menyentuh hati seluruh negara.

"Harapan saya, sejak awal lagi, hanyalah agar kebenaran dapat ditegakkan, keadilan dapat dilaksanakan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuhkan," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto Padua Jr mengulangi pendirian Mohd Shafie iaitu menghormati keputusan mahkamah sebagai sikap Parti Warisan sementara menunggu proses rayuan dilengkapkan.

"Ahli-ahli Warisan diminta terus fokus kepada perjuangan parti dan terus berani menuntut keadilan dinegara ini," ujarnya lagi dalam kenyataan itu.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Semporna itu dijatuhi hukuman penjara lima minggu oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas didapati bersalah menghina mahkamah berhubung kenyataan dibuatnya berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Hakim Amir Shah Amir Hassan memutuskan bahawa Peguam Negara, selaku pemohon berjaya membuktikan permohonan menghina mahkamah terhadap bekas Ketua Menteri Sabah itu, melampaui keraguan munasabah.

Pada 22 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Mohd Shafie berhubung kenyataan yang didakwa mengganggu perjalanan prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina.

Kemudian pada 23 Okt, Koroner Amir Shah membenarkan Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Mohd Shafie.

Must Watch Video

Advertisement