Skip to main content

Dunia

Enam wartawan, dua lagi didakwa manipulasi harga saham

51744102561_CourtMahkamah.jpg
Wartawan terbabit menyertai skim itu dengan syarat menerima bayaran 300,000 won bagi setiap artikel, dengan tiga daripada mereka masing-masing memperoleh kira-kira 150 juta won, 160 juta won dan 28 juta won. - Gambar hiasan

SEOUL: Pendakwa raya Korea Selatan pada Rabu memaklumkan bahawa mereka telah mendakwa lapan individu, termasuk enam wartawan akhbar harian perniagaan, atas pertuduhan memanipulasi harga saham dan mengaut lebih 9 bilion won (US$6.19 juta) hasil keuntungan haram, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kesemua suspek berdepan pertuduhan membeli saham yang kurang aktif didagangkan atau mempunyai turun naik harga yang tinggi terlebih dahulu sebelum menaikkan harganya dengan menerbitkan artikel berita yang memberikan gambaran positif mengenai syarikat berkenaan dan kemudian menjual saham berkenaan.

Daripada kesemua suspek, seorang akauntan, seorang pelabur dan lima wartawan didakwa meraih keuntungan haram sebanyak 8.55 bilion won menerusi penulisan kira-kira 1,800 artikel antara Oktober 2020 hingga Jun tahun lepas. 

Wartawan terbabit menyertai skim itu dengan syarat menerima bayaran 300,000 won bagi setiap artikel, dengan tiga daripada mereka masing-masing memperoleh kira-kira 150 juta won, 160 juta won dan 28 juta won.

Dalam kes berasingan, seorang lagi wartawan didakwa memperoleh kira-kira 740 juta won menerusi 340 artikel yang diterbitkan antara Oktober 2022 hingga Julai 2024 dengan menyalahgunakan kuasanya untuk menerbitkan artikel.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 

Must Watch Video

Advertisement