Skip to main content

Malaysia

Malaysia wajar pertimbangkan semula keberadaan UNHCR jika tiada kerjasama saringan - Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 22 April -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Better Nation Forum Siri 10: 'Kesan Konflik US-Iran ke atas Malaysia' di Auditoriam Mennara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) malam ini._BERNAMA
Mohamad berkata kewujudan pejabat UNHCR ketika ini dilihat seolah-olah menjadi “magnet”, yang menarik kemasukan lebih ramai pelarian, khususnya etnik Rohingya ke Malaysia. - Gambar fail/Bernama

SEREMBAN: Malaysia wajar mempertimbangkan semula keberadaan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini, sekiranya badan antarabangsa itu enggan bekerjasama dalam melaksanakan proses saringan ketat terhadap pemohon kad pelarian.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kewujudan pejabat UNHCR ketika ini dilihat seolah-olah menjadi “magnet”, yang menarik kemasukan lebih ramai pelarian, khususnya etnik Rohingya ke Malaysia.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengusahakan mekanisme bagi memastikan proses saringan dilakukan secara bersama-sama oleh UNHCR dan pihak berkuasa tempatan, sebelum sebarang kad pelarian dikeluarkan kepada mana-mana individu.

Mohamad berkata perkara itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan beliau meminta supaya Perjanjian Negara Tuan Rumah disegerakan, bagi menetapkan garis panduan serta kawalan yang lebih ketat terhadap pengeluaran kad UNHCR.

“Kita mahu supaya ada kerjasama dan tapisan ketat dilakukan. Jika mereka tidak mahu bekerjasama, pada saya, sudah sampai masanya untuk kita menimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara supaya kita tidak terus terbeban,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan, di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan ratusan etnik Rohingya berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling di Kuala Lumpur, sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan pengesahan identiti.

Mohamad berkata antara isu yang perlu ditangani ialah proses permohonan kad pelarian yang didakwanya terlalu mudah, sehingga membolehkan individu membuat permohonan secara dalam talian dari negara asal sebelum memperoleh kad berkenaan sebaik tiba di Malaysia.

“Sekarang ini tak ada SOP (Prosedur Operasi Standard), mereka bagi lepas buat dalam talian...dia di Myanmar, dia dah buat dalam talian, datang sini ambil kad terus. Jadi saringan kita tak ada, ini yang kita perlu uruskan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement