Skip to main content

Dunia

Kadar kelahiran hidup Singapura menurun 11.4 peratus pada 2025: Laporan ICA

41754969464_tbSingapura.jpg
Singapura merekodkan 26,499 kematian pada 2025, meningkat 57 kes berbanding 26,442 kematian yang direkodkan pada tahun sebelumnya. - Gambar fail

SINGAPURA: Singapura merekodkan penurunan 11.4 peratus dalam jumlah kelahiran hidup pada 2025, dengan bilangan bayi yang dilahirkan merosot kepada 29,864 orang, menurut Penguasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA).

Menurut Laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2025 yang dikeluarkan ICA pada Isnin, jumlah kelahiran hidup dalam kalangan warganegara dan penduduk masing-masing menurun kepada 26,071 dan 27,393 berbanding 29,237 dan 30,808 yang direkodkan pada 2024.

"Kaum Cina mencatat bahagian terbesar kelahiran baharu iaitu 56.6 peratus (16,902), diikuti Melayu sebanyak 22.5 peratus (6,725), India 11.5 peratus (3,427) dan kaum-kaum lain 9.4 peratus (2,810).

"Pada 2025, masyarakat Melayu mencatat kadar kelahiran tertinggi iaitu 11.8 bagi setiap 1,000 penduduk, diikuti masyarakat India dengan 7.3 bagi setiap 1,000 penduduk. Masyarakat Cina pula mencatat kadar terendah iaitu 5.3 bagi setiap 1,000 penduduk," menurut laporan itu.

Singapura merekodkan 26,499 kematian pada 2025, meningkat 57 kes berbanding 26,442 kematian yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

"Kira-kira 4.5 peratus daripada kematian yang didaftarkan pada 2025 melibatkan bukan pemastautin. Mereka kebanyakannya terdiri daripada rakyat Malaysia, India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka," menurut ICA.

Laporan itu menyatakan neoplasma malignan serta penyakit jantung dan hipertensi merupakan dua punca utama kematian pada 2025, yang secara keseluruhannya menyumbang lebih separuh, iaitu 52.1 peratus, daripada semua kematian yang didaftarkan.

Penyakit paru-paru dan sistem pernafasan serta penyakit serebrovaskular turut tersenarai antara punca utama kematian, masing-masing menyumbang 24.7 peratus dan 5.6 peratus daripada jumlah kematian yang didaftarkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement