KUALA LUMPUR: Kira-kira 3,000 pemohon masih berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan unit Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Beliau berkata senarai menunggu PPR di ibu negara itu masih panjang, dengan keutamaan diberikan berdasarkan turutan permohonan kepada golongan B40 yang memenuhi kriteria ditetapkan DBKL.
“Pengisian PPR ketika ini turut melibatkan anggota polis dan bomba kerana kami mahu pihak berkuasa berada dalam komuniti untuk membantu manakala beberapa unit turut dikhaskan sebagai rizab untuk mangsa kebakaran atau keluarga yang berdepan kematian ahli keluarga,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke PPR Seri Pantai di Pantai Dalam di sini pada hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Pada majlis itu, Hannah menyerahkan surat tawaran PPR kepada 29 penerima bagi mengisi unit kosong yang tersedia, selain turut menyerahkan surat tawaran pengisian premis pusat penjaja kepada 40 peniaga tempatan membabitkan lapan kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.
Beliau turut mengumumkan bahawa kerja penyelenggaraan dan naik taraf PPR Seri Pantai bernilai RM2,587,100 telah siap dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pakej RM300 juta bagi menaik taraf semua Perumahan Awam (PA) dan PPR di Kuala Lumpur.
Hannah berkara jumlah itu melibatkan menaik taraf kemudahan lif, penurapan jalan, sistem pencahayaan, sistem pam air, naik taraf taman permainan kanak-kanak dan sistem pencegahan kebakaran.
“Sekarang kami telah selesai menaik taraf dan berharap semua penduduk menjaga fasiliti ini dengan baik kerana wang yang digunakan ialah wang rakyat,” katanya.
PPR Seri Pantai yang mula beroperasi pada 1998 dan mempunyai 936 unit kediaman adalah antara 25 daripada keseluruhan 64 PA dan PPR yang telah selesai dinaik taraf manakala bakinya disasarkan selesai dinaik taraf menjelang hujung tahun ini.
-- BERNAMA