JAKARTA: Menteri-Menteri Luar ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meruncing di Asia Barat serta ancaman yang semakin meningkat yang ditimbulkan oleh penipuan dalam talian rentas sempadan, sambil menggesa kerjasama serantau diperkukuh, kata Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn pada Selasa, lapor Xinhua.
Berucap di Sekretariat ASEAN di Jakarta Selatan, Kao berkata menteri-menteri luar itu membincangkan persaingan geopolitik, keselamatan serantau serta perkembangan di Asia Barat semasa sesi permukiman tahunan mereka di Manila.
Mereka kemudian mengeluarkan kenyataan bersama yang menggesa agar dialog diadakan, menyuarakan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan di Gaza serta menegaskan semula keperluan melindungi orang awam selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Kao berkata para menteri juga bersetuju untuk mengukuhkan penyelarasan menerusi mekanisme keselamatan yang diterajui ASEAN bagi mengurangkan kesan konflik terhadap Asia Tenggara, khususnya dari segi keselamatan tenaga dan makanan, rantaian bekalan serta keselamatan warga ASEAN di rantau itu.
Mereka turut mengenal pasti penipuan dalam talian dan jenayah terancang rentas sempadan sebagai cabaran serantau yang mendesak, sambil memberi amaran bahawa rangkaian jenayah yang semakin canggih mendorong peningkatan aktiviti pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram serta penyalahgunaan teknologi digital merentasi sempadan.
"Ini merupakan isu yang kini menjejaskan kita semua, dan terdapat keperluan untuk memperkukuh kerjasama serantau, baik dalam kalangan negara anggota ASEAN mahupun antara ASEAN dengan rakan luarnya," kata Kao.
-- BERNAMA-XINHUA