BENTONG: Jabatan Penjara Malaysia melancarkan Program Transformasi Kehidupan dan Keusahawanan bagi membekalkan kemahiran perniagaan kepada prospek, sebelum mereka tamat menjalani hukuman.
Komisioner Jeneral Penjara Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Razak berkata program selama enam bulan itu merangkumi kursus keusahawanan, pembangunan kepimpinan, komunikasi, pengurusan kewangan, pemasaran digital, pembinaan sahsiah dan kemahiran insaniah sebagai persediaan mereka membina kehidupan baharu.
“Setakat ini sebanyak 26 orang peserta dipilih selepas melalui proses saringan. Keusahawanan merupakan antara pendekatan yang mampu meningkatkan kebolehpasaran dan menggalakkan peserta berdikari.
“Dengan kemahiran yang sesuai serta bimbingan berterusan, mereka mempunyai peluang mencipta pekerjaan sendiri, menjana pendapatan secara halal dan membina kehidupan yang lebih stabil bersama dengan keluarga”, katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu di Kompleks Penjara Bentong di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata program itu, dilaksanakan melalui kerjasama strategik Jabatan Penjara Malaysia bersama City University Malaysia, dengan sokongan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dalam memperkukuh agenda pembangunan insan dan pemulihan prospek.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak terlibat dan rakan strategik lain atas sumbangan dalam bentuk latihan, penyelidikan, pembiayaan, peluang pekerjaan dan khidmat nasihat ini,” katanya.
Abdul Aziz berkata jabatan itu, sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk berubah dan hukuman bukanlah penamat kehidupan, sebaliknya ruang untuk memperbaiki diri serta membina semula masa depan.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut melaksanakan pendekatan pemulihan melalui Program Kanvas Harapan Inspired Hope yang menampilkan Ikon Koreksional atau pempengaruh pemulihan bagi menyuntik inspirasi kepada prospek lain.
“Kejayaan bekas prospek membuktikan perubahan mampu dicapai menerusi usaha, ilmu dan bimbingan yang betul, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk berdikari,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak kerjasama strategik dapat diwujudkan antara Jabatan Penjara Malaysia, institusi pengajian tinggi dan pelbagai agensi bagi membentuk ekosistem pemulihan yang lebih menyeluruh, mampan serta memberi impak jangka panjang kepada kehidupan prospek.
-- BERNAMA