SINGAPURA: Harga minyak mentah dunia terus mencatatkan penurunan pada awal dagangan hari ini susulan perkembangan yang dilihat mampu meredakan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Penurunan itu didorong sentimen positif pelabur terhadap laporan mengenai rundingan antara Washington dan Tehran yang berpotensi mengurangkan risiko geopolitik di Asia Barat.
Menurut Reuters, niaga hadapan minyak mentah Brent bagi penghantaran September susut AS$1.47 atau 1.66 peratus kepada AS$86.89 setong setakat jam 11.26 pagi waktu tempatan.
Penurunan itu meletakkan harga Brent pada paras terendah sejak pertengahan Julai, sekali gus menghakis premium risiko geopolitik yang melonjak minggu lalu.
Dalam perkembangan sama, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS turut susut kepada AS$81.16 setong.
Harga semasa WTI itu menunjukkan penurunan AS$1.45 atau 1.76 peratus berbanding penutupan dagangan sebelumnya pada AS$82.61 setong.
Penganalisis pasaran berkata perkembangan positif rundingan yang diusahakan Oman membantu mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap kemungkinan gangguan bekalan minyak dari rantau Teluk dan Selat Hormuz.
Bagaimanapun, mereka menjangkakan pasaran minyak global akan terus berdepan ketidaktentuan sekiranya berlaku perkembangan baharu berkaitan hubungan AS-Iran atau sebarang perubahan terhadap sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Tehran.