Skip to main content

Dunia

Konflik Teluk berisiko tolak harga minyak cecah AS$200 setong

minyak, oil_AP
Ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat kini meningkatkan tekanan terhadap pasaran tenaga global yang sudah pun berdepan gangguan bekalan. - Gambar hiasan/AP

HOUSTON: Harga minyak mentah dunia berpotensi melonjak sehingga AS$200 setong sekiranya konflik yang sedang berlaku di rantau Teluk terus berlarutan dan melibatkan lebih banyak kawasan pengeluaran serta laluan bekalan tenaga utama dunia.

Amaran itu disuarakan pensyarah Universiti Houston, Ed Hirs, yang berkata ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat kini meningkatkan tekanan terhadap pasaran tenaga global yang sudah pun berdepan gangguan bekalan.

Menurut beliau, harga minyak Brent bagi kontrak hadapan ketika ini berada sekitar AS$98 setong, namun harga pasaran semasa atau 'spot price' bagi penghantaran segera adalah jauh lebih tinggi.

Hirs menyifatkan pasaran semasa sebagai petunjuk sebenar kepada keadaan bekalan dan permintaan minyak global.

Beliau turut memberi amaran bahawa simpanan minyak global mungkin tidak lagi mencukupi untuk menampung sebarang kehilangan bekalan dari rantau Teluk sekiranya konflik terus merebak.

Hirs berkata Rizab Petroleum Strategik Amerika Syarikat (SPR) juga mempunyai kapasiti yang terhad, dengan bekalan yang dianggarkan hanya mampu bertahan kira-kira 40 hari pada kadar penggunaan semasa.

Menurutnya, jika konflik terus berkembang dan menjejaskan aliran minyak dari Asia Barat, harga kontrak hadapan dan harga pasaran semasa berkemungkinan meningkat sehingga sekitar AS$200 setong.

Kebimbangan terhadap bekalan tenaga global semakin meningkat susulan ketegangan melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya, selain gangguan terhadap laluan perkapalan strategik seperti Selat Hormuz dan Laut Merah yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dunia.

Penganalisis pasaran berpendapat sebarang peningkatan mendadak harga minyak berkemungkinan memberi kesan besar kepada ekonomi global, termasuk peningkatan kos pengangkutan, inflasi serta tekanan terhadap pengguna dan industri di seluruh dunia.
 

 

Must Watch Video

Advertisement