Skip to main content

Dunia

Meghan jadi juri jemputan MasterChef Australia, Harry buat panggilan mengejut

Prince Harry Meghan MasterChef Australia
Meghan menyambut panggilan itu dengan mesra sebelum memperkenalkan suaminya kepada peserta dan juri lain. - Foto X/Rebecca

MELBOURNE: Meghan, Duchess of Sussex, mencuri perhatian penonton apabila tampil sebagai juri jemputan dalam program realiti memasak MasterChef Australia, termasuk menerima panggilan video mengejut daripada suaminya, Putera Harry, ketika sesi penjurian sedang berlangsung.

Dalam episod yang disiarkan pada Ahad, Harry menghubungi Meghan untuk bertanya khabar ketika beliau sedang menilai hidangan peserta.

Meghan menyambut panggilan itu dengan mesra sebelum memperkenalkan suaminya kepada peserta dan juri lain.

Selepas panggilan berakhir, beliau menyifatkan Harry sebagai seorang yang “menawan”.

Episod tersebut menampilkan cabaran menghasilkan hidangan yang sesuai “untuk seorang duchess”, namun Meghan meminta semua yang terlibat memanggilnya dengan nama pertamanya.

Ketika berkongsi mengenai kehidupan keluarganya, Meghan berkata beliau perlu memenuhi citarasa berbeza di rumah, dengan Harry lebih menggemari hidangan berasaskan daging, kentang dan sos berkrim, manakala beliau sendiri lebih menyukai ikan panggang.

Anak mereka, Archie dan Lilibet, juga sering membantu menyediakan makanan dan disifatkan sebagai penggemar makanan yang baik.

Meghan turut menggalakkan peserta menyediakan hidangan yang mempunyai nilai peribadi dan kisah tersendiri, selain menekankan bahawa makanan memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan keluarga.

Penampilan beliau di MasterChef Australia dirakam pada April lalu ketika beliau dan Harry berada di Australia bagi beberapa program amal dan komersial di Melbourne, Canberra dan Sydney.

Reaksi terhadap kemunculan Meghan dalam program itu bercampur-campur.

Ada pihak memuji interaksinya dengan peserta dan menyifatkannya mesra serta bersahaja, manakala pengkritik berpendapat penampilannya tidak memberikan banyak nilai kepada pertandingan.

Reaksi pengguna media sosial juga terbahagi antara yang memuji dan yang menyifatkan kemunculan Harry sebagai tidak perlu.

Penampilan terbaharu ini hadir selepas siri gaya hidup dan masakan Meghan, 'With Love, Meghan', menerima pencalonan Anugerah Emmy Siang dalam kategori Program Gaya Hidup Terbaik.
 

 

Must Watch Video

Advertisement