KUALA LUMPUR: Pemandu Mercedes-AMG Petronas Formula One Team George Russell dan Kimi Antonelli menyatakan keterujaan untuk berlumba di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas Malaysia disahkan sebagai tuan rumah pengganti Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Okt 2026.
Menerusi video yang dikongsikan di akaun Instagram rasmi Mercedes-AMG Petronas Formula One Team semalam, Russell berkata Sepang sentiasa mempunyai tempat yang istimewa buat dirinya kerana beliau menghabiskan banyak masa berlumba di litar itu menerusi permainan video rasmi F1 sejak kecil, meskipun tidak pernah memandunya secara sebenar.
“Berlumba di Malaysia, khususnya di Sepang, memang sangat mengujakan. Sepang sebenarnya litar kegemaran saya sejak kecil ketika saya sering berlumba di litar itu menerusi permainan video F1.
"Saya belum pernah memandu di sana, tetapi saya rasa seperti sudah benar-benar mengenali litar itu kerana begitu kerap berlumba di situ secara maya. Jadi, ia pasti menjadi pengalaman yang sangat menarik. Tambahan pula, Sepang ialah home Petronas, jadi saya memang tidak sabar,” katanya.
Sementara itu, Antonelli yang juga juara GP Belgium berkata perlumbaan di Malaysia akan menjadi sesuatu yang amat istimewa memandangkan Sepang merupakan laman sendiri kepada penaja utama pasukannya, Petronas.
Pelumba baharu dari Itali itu, yang hanya pernah memandu di litar berkenaan secara maya, menyifatkan Sepang sebagai “litar yang sangat hebat” dan berkata beliau tidak sabar untuk merasai pengalaman memandu di situ buat kali pertama dengan jentera F1.
“Jadi, itu benar-benar perlumbaan di laman sendiri bagi Petronas. Itu memang sesuatu yang menarik. Maksud saya, Sepang juga merupakan litar yang sangat hebat. Jadi, saya rasa perlumbaan itu nanti pasti akan menjadi sesuatu yang mengagumkan,” katanya.
Terdahulu, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain susulan persetujuan yang dicapai antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Acara yang dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Okt itu akan mengekalkan nama asalnya sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, tertakluk kepada persetujuan akhir dan kelulusan rasmi, termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.
-- BERNAMA