BORDEAUX: Puluhan ribu penduduk dipindahkan dari kawasan sekitar Bordeaux ketika anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran hutan besar yang terus merebak di barat daya Perancis akibat cuaca panas, tumbuhan kering dan angin kencang.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nuñez, berkata keadaan di wilayah Gironde masih sangat mencabar dengan kebakaran bergerak secara tidak menentu ke arah Bordeaux, walaupun pihak berkuasa setakat ini menolak kemungkinan bandar itu perlu dikosongkan.
Sepanjang malam hingga Ahad, kira-kira 55,000 penduduk dipindahkan dari beberapa kampung di selatan Bordeaux, kawasan yang terkenal dengan ladang anggurnya.
Kebakaran yang melanda Perancis sejak beberapa hari lalu kini memusnahkan kira-kira 42,000 hektar kawasan di barat daya negara itu, menjadikannya antara kebakaran hutan terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
Secara keseluruhan, hampir 98,000 hektar kawasan telah terbakar di seluruh Perancis sejak awal tahun ini.
Lebih 220,000 penduduk di barat daya negara itu turut dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Seorang pegawai kanan pasukan bomba, Kapten Nicolas Braz, berkata kebakaran tersebut amat sukar dikawal kerana menghasilkan sistem anginnya sendiri, termasuk pusaran angin yang menyebabkan api bergerak secara tidak menentu.
Di bandar pesisir pantai Le Porge, penduduk setempat menubuhkan rangkaian sukarelawan bagi membantu anggota bomba yang keletihan dengan menyediakan makanan dan tempat berehat.
Lebih 150 rumah dilaporkan musnah di bandar yang mempunyai kira-kira 3,500 penduduk itu.
Sementara itu di Sepanyol, kebakaran hutan terus merebak di sekitar Madrid dan Avila sehingga memaksa lebih 90,000 penduduk dipindahkan.
Menteri Peralihan Ekologi Sepanyol, Sara Aagesen, berkata kira-kira 77,000 hektar kawasan terjejas akibat kebakaran, manakala kebakaran di wilayah Avila disifatkan sebagai antara yang terbesar dalam sejarah moden negara itu.
Keadaan turut membimbangkan di Valencia apabila satu lagi kebakaran besar tercetus berhampiran bandar pesisir pantai itu.
Presiden wilayah Valencia, Juanfran Perez Llorca, mengakui pasukan pemadam kebakaran sedang berdepan cabaran besar untuk mengawal situasi.
Setakat ini, seorang orang awam dilaporkan maut dalam kebakaran di Valencia, manakala dua anggota bomba terkorban awal minggu lalu ketika memadamkan kebakaran berhampiran Bordeaux.
Usaha pemadaman di Gironde melibatkan kira-kira 2,500 anggota bomba, termasuk pasukan bantuan dari Switzerland, selain 1,500 anggota tentera dan hampir 1,200 polis serta anggota gendarmerie.
Kebakaran turut menjejaskan sektor pengangkutan apabila sebahagian Lebuhraya A63 yang menghubungkan Perancis dan Sepanyol ditutup, manakala operasi Lapangan Terbang Bordeaux mengalami kelewatan dan pembatalan penerbangan.
Susulan krisis itu, peringkat terakhir perlumbaan Tour de France turut dipendekkan bagi membolehkan lebih ramai anggota keselamatan dikerahkan membantu operasi pemadaman.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berjanji kerajaan akan terus membantu kawasan yang terjejas dan memastikan usaha pemulihan dilaksanakan sebaik keadaan kembali terkawal.