TEHRAN: Iran memberi amaran akan mengambil tindakan susulan terhadap serangan ke atas sebuah kapal komersialnya di Laut Caspian yang didakwa dilakukan Ukraine, sambil menegaskan insiden itu “tidak boleh dibiarkan tanpa tindak balas”.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, secara terbuka menyalahkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, atas serangan tersebut yang menurut Tehran mengorbankan seorang kelasi dan mencederakan beberapa lagi anak kapal.
Beliau turut mendakwa tindakan itu dilakukan atas dorongan Israel dalam usaha memperluaskan konflik ke rantau lain.
Dalam kenyataannya, Araghchi menyifatkan serangan berkenaan sebagai pencabulan nyata terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memaklumkan perkara itu telah dibangkitkan dalam perbincangan dengan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, serta Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.
Kementerian Luar Iran sebelum ini memanggil wakil diplomatik Ukraine di Tehran bagi menyampaikan bantahan rasmi terhadap apa yang disifatkan sebagai tindakan bermusuhan dan jenayah.
Tehran turut menegaskan bahawa Iran akan mempertahankan keselamatan serta kepentingan negaranya.
Tuduhan itu timbul selepas Zelenskyy mengumumkan bahawa pasukan Ukraine melaksanakan serangan jarak jauh di Laut Caspian yang menyasarkan kapal-kapal digunakan untuk mengangkut kargo ketenteraan berkaitan Iran dan Rusia.
Ukraine mendakwa sasaran tersebut terlibat dalam rantaian logistik yang menyokong usaha perang Moscow.
Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata saluran komunikasi dengan Amerika Syarikat masih diteruskan melalui pihak pengantara.
Bagaimanapun, beliau menuduh Washington sebelum ini mengkhianati usaha diplomatik yang dijalankan antara kedua-dua negara.
Pada masa sama, media Iran melaporkan sebuah kapal tangki minyak meletup selepas dipercayai melanggar periuk api laut di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dunia.
Setakat ini, butiran lanjut mengenai insiden tersebut masih belum disahkan secara bebas.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan serantau terus meningkat susulan konflik melibatkan Iran, Amerika Syarikat, Israel dan sekutu masing-masing, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan peluasan medan konflik ke kawasan baharu termasuk Laut Caspian dan Selat Hormuz.