Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: BN kukuh, PH berpeluang di kerusi campuran - Penganalisis

Dr Mazlan Ali_FB Lebih Masa
Mazlan berkata, BN mempunyai asas politik yang sangat teguh di Negeri Sembilan, khususnya di kawasan-kawasan pedalaman yang berhampiran Banjaran Titiwangsa. - Gambar/ Astro AWANI

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dijangka mampu mengekalkan penguasaan di kubu kuat mereka di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), namun isu-isu sensitif yang dimainkan mutakhir ini berisiko mencetuskan protes pengundi bukan Melayu di kawasan campuran.

Penganalisis Politik, Mazlan Ali berkata, BN mempunyai asas politik yang sangat teguh di negeri itu, khususnya di kawasan-kawasan pedalaman yang berhampiran Banjaran Titiwangsa, yang memberikan jaminan kemenangan di kerusi-kerusi tradisi mereka.

Menurut beliau, jalinan kerjasama atau persefahaman dari segi undi antara BN dan Perikatan Nasional (PN), akan menghasilkan pertambahan undi Melayu yang bakal menguntungkan calon-calon BN.

"Dari sudut ini, BN sebenarnya berada dalam keadaan yang tidak terjejas dengan isu-isu panas yang sedang berlaku. Malah, BN boleh menggunakan PN sebagai ejen untuk mengurangkan dominasi kerusi Pakatan Harapan (PH) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Walau bagaimanapun, Mazlan memberi amaran bahawa senario berbeza mungkin berlaku di kawasan bandar dan kerusi campuran di barat Negeri Sembilan yang antaranya merangkumi Lenggeng, Seremban, dan Nilai.

Beliau menjelaskan bahawa pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina dan India yang membentuk populasi signifikan di kawasan tersebut, mungkin akan menunjukkan reaksi protes terhadap naratif politik perkauman atau politik sempit yang ditonjolkan oleh sesetengah pihak.

"Isu-isu mutakhir ini berkemungkinan besar memberi kelebihan kepada PH, terutama di kawasan-kawasan marjinal. Pengundi yang sebelum ini mungkin berkira-kira untuk menyokong gabungan BN-PN, boleh berubah arah menyokong PH atau memilih untuk tidak keluar mengundi sebagai tanda protes.

"Ini adalah tindak balas daripada kaum Cina dan India yang terkesan dengan isu yang tidak mereka persetujui," tambahnya.

Mengulas mengenai peluang BN, Mazlan menyatakan bahawa berdasarkan rekod pilihan raya lalu, BN sudah pun memiliki 14 kerusi di Negeri Sembilan dan terdapat kebarangkalian besar jumlah itu akan bertambah.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa keputusan keseluruhan pilihan raya pada Ogos nanti akan ditentukan oleh persaingan sengit di kerusi-kerusi marjinal yang kini menjadi medan pertarungan antara gabungan BN-PN menentang PH. 
 

Must Watch Video

Advertisement