KUALA LUMPUR: Astro AWANI bersedia untuk bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menawarkan platform siaran langsung bagi dialog interaktif sekiranya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi setuju berdepan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Maszlee Malik.
Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Ariffin berkata, kerjasama ini bertujuan menyediakan platform bagi menyuburkan demokrasi dan budaya intelek sekali gus menjadikannya budaya politik baharu di Malaysia.
‘’Dialog intelek bukan untuk membuka ruang pergaduhan, sebaliknya ia akan membuka ruang untuk mematangkan politik serta memberi peluang untuk rakyat menilai siapa pemimpin yang lebih layak untuk mewakili mereka,’’ katanya di sini, hari ini.
Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan sebelum ini secara terbuka menyahut pelawaan Onn Hafiz untuk berdialog menjelang Pilihan Raya Negeri Johor 11 Julai ini.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini berkata, RTM bersedia menyediakan platform bagi mengadakan sesi dialog melibatkan Onn Hafiz dan Maszlee.
Menurut Fahmi, tawaran itu dibuat bagi memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin menjelaskan hala tuju negeri kepada rakyat secara terbuka.