KUALA LUMPUR: Kejayaan Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima tiga pengiktirafan berhubung Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) akan menjadi pembakar semangat untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan menghasilkan impak yang lebih besar kepada rakyat serta negara.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengiktirafan berkenaan bukan milik individu, tetapi hasil usaha berpasukan, komitmen dan kesungguhan seluruh warga KKR yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.
Beliau turut menekankan kepentingan semangat “Transformasi Awam” dalam pelaksanaan tugasan harian agar warga KKR sentiasa mencari ruang untuk menambah baik cara bekerja, mempercepat penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga KKR atas kejayaan menerima tiga pengiktirafan yang membanggakan,” katanya menerusi hantaran X.
Pengiktirafan yang diperoleh ialah Sijil Pengiktirafan Projek Berpotensi Tinggi bagi RKB KKR Tahun 2025 bertajuk “Meningkatkan Kecekapan dan Akauntabiliti Pengurusan Data Jalan di Malaysia” oleh Bahagian Dasar dan Antarabangsa (BDA).
Selain itu, Sijil Pengiktirafan Projek RKB Berimpak Tinggi bagi Projek RKB KKR Tahun 2025 bertajuk “Mempercepat Proses Kelulusan Laporan Verifikasi Kilang dan Produk di Luar Negara” oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.
KKR turut merangkul Sijil Penghargaan Khas Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebagai kementerian yang berjaya menyiapkan bilangan Projek RKB tertinggi dengan 15 projek berjaya diselesaikan sejak 2024.
-- BERNAMA