Skip to main content

Politik

PRN Johor: “Entah macam mana Allah takdirkan, saya jadi PM” - Muhyiddin kenang detik teraju negara

PRN Johor, Muhyiddin Yassin. Astro AWANI
Muhyiddin berkata, menggalas amanah sebagai Perdana Menteri pada ketika itu membuka ruang untuk beliau memberi perhatian lebih serius terhadap pelbagai isu membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). - Gambar Astro AWANI

KOTA TINGGI: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengimbau detik beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan, dengan menyifatkan ia satu ketentuan Tuhan.

Menurut Muhyiddin, pelantikan itu membuka ruang untuk beliau memberi perhatian lebih serius terhadap pelbagai isu membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Saya entah macam mana Allah takdirkan, Kun Fayakun, maka jadilah saya Perdana Menteri. Mana orang terlintas bahawa saya boleh jadi Perdana Menteri…. tapi itu rezeki saya, Allah bagi dan saya bersyukur,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Felda Sungai Sibol, di sini, pada Jumaat bagi membantu kempen calon Perikatan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Mohamad Alias Rasman yang bakal berdepan dua pencabar iaitu daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menambah, ketika itu peneroka turut dibebani hutang berjumlah kira-kira RM12 bilion, selain pendapatan yang tidak lagi mampu menampung kos sara hidup serta bayaran balik pinjaman.

“Hasil-hasil yang dapat dipungut oleh peneroka Felda tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup, inikan pula untuk membayar hutang-hutang Felda yang telah lama tertangguh,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan itu mendorong kerajaan pimpinannya menubuhkan jawatankuasa khas dan menyediakan Kertas Putih Felda sebelum pelan pemulihan dibentang serta diluluskan di Parlimen.

Katanya, kerajaan ketika itu memperuntukkan hampir RM1 bilion setahun selama 10 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM10 bilion bagi membantu memulihkan aliran kewangan Felda.

Muhyiddin menjelaskan, antara keputusan terbesar yang diambil ialah meluluskan penghapusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus bertujuan meningkatkan taraf hidup peneroka serta memastikan beban hutang tidak terus diwarisi generasi seterusnya.

Must Watch Video

Advertisement