Skip to main content

Dunia

Mohamad Sabu ketuai delegasi Malaysia beri penghormatan terakhir kepada Ali Khamenei

Mat Sabu, Khamenei
Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai delegasi kerajaan Malaysia yang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei di Grand Mosalla, hari ini. - Astro AWANI

TEHRAN: Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai delegasi kerajaan Malaysia yang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei di Grand Mosalla, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merupakan antara ratusan pemimpin serta delegasi dari pelbagai negara yang hadir bagi menyaksikan upacara bersejarah itu.

Turut mengiringi Mohamad ialah Setiausaha Politik kepada Menteri KPKM, Yuhaizad Abdullah; Setiausaha Bahagian Asia Barat, Kementerian Luar Negeri, Wan Aznainizam Yusri Wan Abdul Rashid; serta Pegawai Tugas-Tugas Khas III Menteri KPKM, Abdul Hakim Azmy.

Selain Mohamad, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid turut berada dalam kalangan delegasi pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dijemput menghadiri upacara berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan upacara penghormatan kepada Ali Khamenei akan berlangsung selama beberapa hari bermula di Tehran sebelum diteruskan di Qom, Najaf dan Karbala, sebelum pengebumian dijadualkan di Masjid Haram Imam Reza, Mashhad pada 9 Julai.

Selepas selesai acara penghormatan di Tehran dan Qom, jenazah Ali Khamenei akan dibawa ke Najaf dan Karbala di Iraq pada 8 Julai sebelum dikebumikan di Masjid Haram Imam Reza di Mashhad sehari kemudian.

Majlis berkabung itu berlangsung lebih 100 hari selepas Ali Khamenei terkorban dalam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu.

Upacara itu turut menyaksikan empat lagi keranda ahli keluarga terdekat Ali Khamenei, iaitu anak perempuannya, Boshra Khamenei; menantu lelakinya, Misbahul Huda Bagheri Kani; menantu perempuannya, Zahra Haddad-Adel.

Turut terkorban ialah cucunya, Zahra Mohammadi Golpayegani, yang menurut laporan media Iran maut dalam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu.

Susulan peristiwa itu, dunia menyaksikan penutupan laluan strategik Selat Hormuz selain pertukaran serangan antara Iran dengan AS-Israel.

Bagaimanapun, ketegangan mula reda apabila kedua-dua pihak bersetuju mengadakan rundingan di Islamabad pada April sebelum memeterai 14 draf Memorandum Persefahaman (MoU) antara AS dan Iran pada 17 Jun lalu.

MoU itu kemudiannya dibawa ke meja rundingan di Switzerland, menyaksikan delegasi Iran termasuk Speaker Parlimen, Mohammed Bagher Ghalibaf dan Menteri Luar Negeri, Seyyed Abbas Araghchi mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden AS, JD Vance.

Rundingan kini diteruskan di Doha menerusi Qatar dan Pakistan yang bertindak sebagai orang tengah sejak penghujung Jun lalu.

Antara perkara utama yang terus ditegaskan oleh Iran ialah pengendalian Selat Hormuz kekal di bawah pentadbiran Tehran dengan kerjasama Oman, selain pelepasan aset negara yang dibekukan sejak hampir lima dekad lalu.

Untuk rekod, Ali Khamenei menjadi Pemimpin Tertinggi Iran pada 1989 selepas menggantikan Ayatollah Ruhollah Khomeini yang meninggal dunia pada tahun sama.

Must Watch Video

Advertisement