Skip to main content

Malaysia

Kain Lima, warisan tekstil Melayu yang kian pupus

Kain Lima_BERNAMA
Keistimewaan Kain Lima terletak pada teknik tenunan yang menggabungkan benang berikat atau ikat celup bagi menghasilkan motif lebih halus serta mempunyai kesan pantulan warna berbeza. - Gambar Bernama

PASIR PUTEH: Pernah menjadi lambang kemewahan golongan diraja Melayu, Kain Lima kini semakin sukar ditemui susulan berkurangnya penenun yang masih menguasai teknik penghasilannya.

Penjaga Galeri Rumah Tiang 12 Nik Mohd Murdani Nik Hassan berkata penghasilan Kain Lima di Kelantan telah lama terhenti, manakala hanya segelintir penenun di negara ini masih menghasilkan tekstil warisan berkenaan.

Beliau berkata keadaan itu menjadikan Kain Lima semakin bernilai, sekali gus menuntut usaha lebih bersepadu bagi memastikan warisan tekstil Melayu itu terus dipelihara dan tidak lenyap ditelan zaman.

“Keistimewaan Kain Lima terletak pada teknik tenunan yang menggabungkan benang berikat atau ikat celup bagi menghasilkan motif lebih halus serta mempunyai kesan pantulan warna berbeza.

“Teknik ini menyebabkan Kain Lima berbeza daripada songket biasa kerana ia bukan sekadar menampilkan benang emas atau perak, sebaliknya mengutamakan kehalusan tenunan dan keunikan corak pada fabrik,” katanya kepada Bernama pada Festival Kesenian Rakyat Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.

Nik Mohd Murdani berkata hanya mereka yang benar-benar mengenali tekstil tradisional mampu membezakan Kain Lima daripada songket menerusi corak, struktur tenunan serta medium kain yang digunakan.

Beliau berkata proses penghasilan sehelai Kain Lima memerlukan ketelitian dan kemahiran tinggi kerana setiap motif perlu disusun menggunakan gabungan pelbagai warna benang sebelum ditenun.

“Faktor ini menyebabkan nilai Kain Lima jauh lebih tinggi berbanding fabrik biasa. Di pasaran ketika ini, sehelai Kain Lima boleh dijual antara RM3,000 hingga lebih RM4,000 bergantung kepada usia, motif, keadaan fabrik dan tahap kehalusan tenunannya,” katanya.

Menurutnya, pada zaman dahulu Kain Lima menjadi lambang kemewahan dan sering dijadikan busana golongan kerabat diraja sebagai kain sarung, selendang serta busana istiadat.

Beliau berkata Galeri Rumah Tiang 12, yang mula disertainya pada 2020, kini mempamerkan koleksi Kain Lima milik pengumpul persendirian sebagai usaha memperkenalkan semula khazanah tekstil Melayu kepada masyarakat.

Katanya pameran itu turut memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri perbezaan Kain Lima dan songket serta tekstil tradisional lain yang semakin sukar diperoleh.

Sementara itu, pembuat kraftangan Nur Anira Akmal Che Abdul Aziz, 34, dari Pasir Mas berkata dia mengunjungi pameran berkenaan bagi menimba ilmu mengenai pelbagai jenis tekstil dan kraftangan warisan.

“Pemerhatian terhadap bentuk, motif serta teknik penghasilan tekstil tradisional memberi inspirasi untuk menghasilkan produk kraftangan yang lebih kreatif dan mempunyai identiti tempatan.

“Setiap kali datang ke pameran seperti ini, saya mendapat idea baharu untuk menambah baik hasil kraftangan yang dihasilkan selain memahami nilai warisan yang perlu dipelihara,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement