Skip to main content

Malaysia

Kerajaan ganda usaha tingkat kesedaran pembiayaan mikro RM5 bilion - KSP

PUTRAJAYA, 3 Julai -- Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican (duduk dua kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Datuk Seri Isham Ishak (duduk, kiri) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak pasar tani Putrajaya hari ini._BERNAMA
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican (duduk dua kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Datuk Seri Isham Ishak (duduk, kiri) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak pasar tani Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kerajaan terus menggandakan usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan berhubung kemudahan pembiayaan mikro bernilai lebih RM5 bilion, yang disediakan menerusi pelbagai agensi agar lebih ramai golongan layak menerima akses kepada bantuan berkenaan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata tahap kesedaran mengenai kemudahan tersebut masih perlu dipertingkatkan dengan semua agensi berkaitan akan digerakkan secara bersama untuk turun padang terutamanya bagi mendekati peniaga kecil. 

“Seperti yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kerajaan menyediakan lebih RM5 bilion dari segi nilai mikro kredit melalui agensi-agensi utama seperti Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Apa yang sedang dilaksanakan ialah memandangkan kurang kesedarannya, oleh itu, usaha telah dibuat untuk semua agensi berkaitan, bergabung bersama untuk turun padang, hari ini di Pasar Tani Putrajaya yang ada lebih 124 peniaga,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Lawatan Pasar Tani Putrajaya di sini hari ini.

Berkongsi maklum balas peniaga hasil sesi lawatan itu, beliau berkata sebahagian besar peniaga memaklumkan telah menerima pembiayaan daripada agensi kerajaan selain menerima kemudahan tersebut daripada agensi sama.

"Saya rasa majoriti mendapat pembiayaan daripada agensi-agensi yang terlibat. Ini menunjukkan apa yang diberikan dan disampaikan sebenarnya memberi impak baik, satu impak besar kepada mereka yang menerima dana ini dan menggunakannya," katanya.

Dalam pada itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin yang juga turut hadir, berkata siri libat urus Agrobank di pasar tani telah menerima lebih 160 permohonan dengan jumlah pembiayaan mikro sebanyak RM6.4 juta, setakat ini.

"Ini mencerminkan sambutan positif dalam kalangan penjaja dan usahawan mikro terhadap akses kewangan yang lebih mudah, dekat dan bersesuaian dengan keperluan perniagaan harian mereka," katanya.

Beliau berkata program turun padang itu membolehkan Agrobank mendengar keperluan peniaga secara langsung, selain memberi penerangan lebih bersasar mengenai kemudahan pembiayaan dan sokongan kewangan yang tersedia.

"Selain pembiayaan, penjaja turut diberikan akses kepada khidmat nasihat kewangan, perlindungan takaful, pendigitalan perniagaan dan literasi kewangan bagi membantu mereka meningkatkan daya tahan serta daya saing perniagaan dalam jangka panjang," katanya.

Mengenai harga ditawarkan peniaga di pasar tani, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak berkata orang ramai boleh menyemak pergerakan harga barangan menerusi portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pemasaran Agromakanan yang disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Portal ini turut berfungsi sebagai mekanisme amaran awal bagi membantu pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya, termasuk meningkatkan bekalan sekiranya terdapat petunjuk kenaikan harga mendadak," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement