Skip to main content

Malaysia

SC pelawa input awam mengenai cadangan perkukuh ekosistem tadbir urus korporat

41735280010_SuruhanjayaSekuriti.jpg
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan kertas rundingan bagi mendapatkan maklum balas awam mengenai cadangan untuk memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat Malaysia.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan kertas rundingan bagi mendapatkan maklum balas awam mengenai cadangan untuk memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat Malaysia.

Menurut badan kawal selia itu cadangan tersebut termasuk langkah susulan terhadap bidang yang dikenal pasti dalam ‘Kertas Perbincangan mengenai Rangka Kerja Tadbir Urus Korporat’ yang dikeluarkan pada Disember tahun lepas, dengan mengambil kira maklum balas dan ulasan yang diterima.

"Kertas rundingan itu merangkumi empat cadangan utama yang bertujuan untuk memperkukuh kebertanggungjawapan dalam kalangan pengawal tadbir urus utama, menambah baik amalan tadbir urus dan ketelusan syarikat awam tersenarai (PLC) serta menggalakkan disiplin pasaran melalui pemerkasaan yang lebih besar terhadap pemegang saham," jelasnya.

SC menjelaskan antara cadangan itu adalah untuk meningkatkan pengawasan terhadap setiausaha syarikat dengan memperkenalkan keperluan baharu bagi memperkukuh kualiti, profesionalisme dan keberkesanan setiausaha syarikat dalam menyokong lembaga pengarah dan memberi nasihat mengenai perkara tadbir urus.

SC juga bercadang menubuhkan dana litigasi pemegang saham untuk menyediakan sumber kewangan dan sokongan undang-undang kepada pemegang saham bagi meneruskan tuntutan undang-undang yang berasas demi kepentingan pemegang saham dan pasaran keseluruhannya.

Di samping itu, pengawal selia itu juga mencadangkan peningkatan amalan tadbir urus dalam syarikat yang mempunyai pemilikan tertumpu, seperti syarikat milik keluarga.

“SC bercadang untuk memperkenalkan panduan yang lebih luas mengenai jangkaan tadbir urus untuk PLC dengan struktur pemilikan tertumpu, memandangkan kepentingannya dalam landskap korporat Malaysia,” tambahnya.

SC mempelawa input orang ramai mengenai jangkaan yang dicadangkan mengenai pengawasan lembaga pengarah terhadap teknologi, termasuk pendedahan mengenai penggunaan dan tadbir urus teknologi dan kecerdasan buatan.

Semakan dan penambahbaikan yang dicadangkan adalah sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030, yang menjadikan disiplin pasaran sebagai pemboleh utama ekosistem tadbir urus korporat yang kukuh dan berkesan, tambah SC.

Kertas rundingan, yang boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/consultationpapers, terbuka kepada maklum balas awam mulai hari ini hingga 31 Julai, 2026, dan SC mengalu-alukan pandangan daripada PLC, pelabur dan persatuan industri.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement