Skip to main content

Dunia

Penduduk diarah berpindah, api marak di California Selatan

71754695113_CaliforniaWildfires.jpg
Kebakaran itu, yang digelar “Summit”, dilaporkan kira-kira 1 tengah hari Jumaat waktu tempatan di Llano. - Gambar fail/ AP

LOS ANGELES: Kebakaran hutan di California Selatan, Amerika Syarikat melanda hampir 2,700 ekar pada Sabtu, memaksa penduduk berpindah di tengah-tengah gelombang haba yang berbahaya, lapor Xinhua.

Kebakaran itu, yang digelar “Summit”, dilaporkan kira-kira 1 tengah hari Jumaat waktu tempatan di Llano, sebuah komuniti kecil berhampiran sempadan daerah Los Angeles dan San Bernardino. 

Api gagal dibendung pada pagi Sabtu, menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California.

Arahan dan amaran berpindah telah dikeluarkan untuk kawasan berhampiran. Pegawai berkata anggota bomba terus berjuang memadamkan kebakaran dari udara dan tanah.

Bentuk muka bumi yang curam dan tidak rata menyukarkan akses namun anggota tetap giat memadamkan kebakaran, dengan helikopter menyediakan sokongan udara.

Suhu di kawasan itu dilaporkan meningkat kepada hampir 100 darjah Fahrenheit (37.8 darjah Celsius) pada Jumaat, dan nasihat haba kekal berkuat kuasa untuk sebahagian besar California Selatan hingga pagi Selasa.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement