PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dapatan dan syor yang dikemukakan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama agensi berkaitan, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia serta Polis Diraja Malaysia bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan yang bersesuaian terhadap proses pengurusan permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian.
KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia melibatkan aspek pengukuhan prosedur operasi standard, dokumentasi, penyelarasan proses kerja serta mekanisme tadbir urus yang selaras dengan amalan terbaik perkhidmatan awam.
Menurut kementerian itu, latihan berterusan juga akan diberikan kepada pegawai dan kakitangan yang terlibat agar mereka sentiasa mempunyai pengetahuan yang mencukupi serta berkemahiran tinggi.
“KDN ingin menegaskan bahawa kuasa pertimbangan permohonan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan awam, keselamatan negara serta fakta bagi setiap kes.
“KDN juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi yang mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat perkara yang memerlukan tindakan mengikut undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 adalah suatu proses yang diperuntukkan oleh undang-undang dan dilaksanakan melalui penelitian menyeluruh terhadap setiap permohonan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang berkaitan serta kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, KDN turut mendapatkan penelitian serta semakan daripada pelbagai agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan pihaknya kekal komited untuk terus memperkukuh integriti, ketelusan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan demi memastikan setiap urusan berkaitan kewarganegaraan dilaksanakan secara profesional, berakauntabiliti dan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
“KDN mengambil maklum laporan EAIC dan sentiasa menghormati fungsi semak dan imbang institusi yang diwujudkan di bawah undang-undang serta akan meneliti setiap syor yang dikemukakan bagi tujuan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dan tadbir urus kementerian,” menurut kenyataan itu.
BACA: AIC syor KDN, JPN semak semula proses, dokumen kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi
Pasukan Petugas Khas EAIC baru-baru ini mengemukakan enam syor kepada KDN, antaranya menyemak semula keseluruhan proses dan dokumen kewarganegaraan yang diberikan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak Malaysia.
Syor lain adalah mewujudkan satu garis panduan dalam menjalankan kuasa budi bicara di bawah undang-undang dengan mengambil kira peruntukan asas dalam Perlembagaan Persekutuan yang menitikberatkan tempoh kemastautinan dalam negara sebagai asas kewarganegaraan yang diperakukan dan faktor penting dalam mempertimbangkan kelulusan untuk diberikan atas dasar keadaan khas.
-- BERNAMA