Skip to main content

Dunia

Bos Volkswagen pilih 'penyelesaian lebih bijak' daripada tutup kilang

61607082674_Volkswagen.jpg
Menurut Blume, program pengurangan kos di tapak pengeluaran Volkswagen di Jerman sudah pun membuahkan hasil. - Gambar fail

BERLIN: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Volkswagen, Oliver Blume percaya pengeluar kereta itu mampu mengelakkan penutupan kilang ketika ia meneruskan usaha untuk mengurangkan kos, lapor agensi berita Jerman dpa.

"Terdapat penyelesaian yang lebih bijak daripada menutup kilang," kata Blume dalam satu temu bual bersama akhbar Bild am Sonntag yang diterbitkan pada Ahad.

Menurut beliau, program pengurangan kos di tapak pengeluaran Volkswagen di Jerman sudah pun membuahkan hasil.

"Kami berjaya mengurangkan kos kilang kami di Jerman sebanyak purata 20 peratus pada tahun lepas sahaja. Itu merupakan kemajuan yang ketara."

Kenyataan Blume itu menyusul selepas mesyuarat lembaga penyeliaan pada Khamis, menyaksikan beliau dilaporkan gagal memperoleh kelulusan bagi pakej pengurangan kos yang lebih menyeluruh.

Menurut laporan akhbar Süddeutsche Zeitung yang memetik sumber dalam kumpulan itu, wakil tenaga kerja dan negeri Lower Saxony di Jerman mengundi menentang pakej berkenaan.

Butiran mengenai pakej yang ditolak itu setakat ini hanya diperoleh melalui laporan media.

Menurut Manager Magazin, sehingga 100,000 pekerjaan boleh dikurangkan di seluruh dunia - dua kali ganda berbanding jumlah yang dirancang sebelum ini.

Sementara itu, Bild melaporkan bahawa angka berkenaan boleh mencecah sehingga 120,000 pekerjaan.

Empat daripada kilang kumpulan itu di Jerman turut berdepan ancaman penutupan, termasuk sebuah kilang yang dikendalikan oleh Audi, anak syarikat VW.

--BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement