Skip to main content

Dunia

Kerajaan Jepun gesa penggunaan tepung beras di kala penggunaan makanan asasi merosot

41735575911_beras.jpg
Susulan kemerosotan dalam penggunaan beras di Jepun, kementerian pertanian negara itu kini menggalakkan penggunaan tepung beras dalam pembuatan manisan sebagai langkah memperluas kaedah pengambilan makanan asasi berkenaan. - Gambar hiasan

TOKYO: Susulan kemerosotan dalam penggunaan beras di Jepun, kementerian pertanian negara itu kini menggalakkan penggunaan tepung beras dalam pembuatan manisan sebagai langkah memperluas kaedah pengambilan makanan asasi berkenaan, lapor Kyodo News.

Awal bulan ini, satu acara telah diadakan di Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan bagi memperkenalkan sampel serta produk berasaskan tepung beras daripada 22 pengeluar di seluruh negara, termasuk pengusaha kedai gula-gula gaya Barat.

Acara terbabit mempamerkan pelbagai jenis manisan termasuk biskut, kek “baumkuchen” dan “brownies” yang mengandungi kandungan tepung beras berbeza, bermula daripada 10 hingga 100 peratus.

Edelweiss Co., sebuah syarikat kedai gula-gula yang berpangkalan di Amagasaki dalam Wilayah Hyogo, mempersembahkan sejenis pencuci mulut tradisional Sepanyol yang dipanggil “polvoron” yang dihasilkan menggunakan tepung beras. “Polvoron” merupakan sejenis biskut rapuh yang secara tradisinya menggunakan tepung gandum yang dibakar.

"Dengan menggunakan tepung beras, kami dapat melangkau proses membakar  dan memberikan sentuhan Jepun kepada manisan ini," kata jurucakap syarikat berkenaan.

Permintaan global terhadap tepung beras semakin meningkat berikutan ia tidak mengandungi gluten, yang dipercayai menjadi punca kepada alahan gandum.

Semasa sesi sembang pada acara itu yang menampilkan cef terkemuka serta pengilang tepung, penekanan diberikan terhadap kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai manfaat kesihatan tepung beras, selain perbezaannya dengan tepung gandum.

Menteri Pertanian, Norikazu Suzuki yang menghadiri acara berkenaan mengumumkan sasaran beliau untuk menggandakan permintaan terhadap tepung beras berbanding angka pada 2025 kepada 130,000 tan menjelang 2030. Beliau turut menzahirkan harapan agar pengguna memilih produk tepung beras kerana rasanya yang lazat.

Menurut data terbaharu daripada Pertubuhan Sokongan Bekalan Stabil Beras, purata penggunaan beras bulanan per kapita di Jepun merosot 6.1 peratus, mencecah paras terendah dalam tempoh tujuh tahun kepada 4,435 gram bagi tempoh tahun yang berakhir pada Mac 2026.

Pada Jun, Dewan Perwakilan meluluskan rang undang-undang yang menyemak semula undang-undang mengenai bekalan stabil dan penentuan harga makanan asasi bagi mengelakkan pengeluaran beras yang berlebihan. Suzuki berikrar bahawa kerajaan akan merangsang permintaan terhadap tepung beras dan produk beras yang lain.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video

Advertisement