KUALA PILAH: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad tidak memandang mudah cabaran mempertahankan kawasan berkenaan meskipun ia disifatkan sebagai kubu kuat PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini.
Beliau berkata, tanggungjawab itu diterimanya daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat dan telah meletakkan tanda aras tinggi menerusi khidmatnya kepada masyarakat setempat.
“Cabaran untuk mengekalkannya itu dalam suasana yang ada pada hari ini bukan sesuatu yang mudah.
“Tapi saya akan cuba sedaya upaya untuk bertemu dengan semua pengundi,
meyakinkan semua pengundi,“ katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di Kuala Pilah hari ini.
Aminuddin sebelum ini merupakan ADUN Sikamat berpindah ke DUN Linggi, manakala Nor Azman diberi amanah untuk mempertahankan kerusi Sikamat.
Sebanyak 36 kerusi DUN akan dipertandingkan pada PRN Negeri Sembilan kali ini dengan melibatkan lebih 889,400 pengundi.