KUALA LUMPUR: Kerajaan Johor menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan keputusan segera, jelas dan muktamad berhubung status individu yang terlibat serta operasi premis Network School di Forest City.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata dalam bidang kuasa kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan menjalankan semakan terhadap pematuhan lesen perniagaan, penggunaan premis serta syarat papan iklan.
"Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu beroperasi di dua premis, dengan satu premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala satu lagi didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki seorang warganegara tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Onn Hafiz berkata pihak syarikat turut didapati melanggar syarat lesen apabila menggunakan premis yang diluluskan sebagai pejabat urusan untuk dijadikan ruang kelas, selain menjalankan promosi perniagaan tanpa mengemukakan permohonan secara terperinci.
Sehubungan itu, beliau berkata MBIP telah mengeluarkan Notis Henti Niaga ke atas premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.
"Selain mengeluarkan Notis Lesen Iklan di bawah Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan tidak selaras dengan kelulusan yang diberikan," tambahnya.
Beliau juga menegaskan kerajaan negeri akan meneruskan siasatan terhadap semua aspek yang berada di bawah bidang kuasa MBIP.
"Jika didapati terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya.
Pada 14 Julai lalu, Onn Hafiz mengarahkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan bahawa warga Israel, yang dilarang memasuki Malaysia, menjadi sebahagian daripada komuniti Network School dan didakwa memasuki negara ini menggunakan pasport kedua.