Skip to main content

Malaysia

Khazanah logam warisan Melayu dipamerkan pada 'Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni'

TAIPING, 12 Julai -- Sebahagian pengunjung yang hadir melihat koleksi Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni di Muzium Perak hari ini.  --fotoBERNAMA
Sebahagian pengunjung yang hadir melihat koleksi Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni di Muzium Perak. - Foto BERNAMA

TAIPING: Sebanyak 140 koleksi khazanah warisan logam yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan seni dipamerkan dalam Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni, yang sedang berlangsung di Muzium Perak, di sini.

Pengarah Muzium Perak, Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir berkata, pameran yang berlangsung dari 1 Jun lepas hingga 31 Dis depan itu memfokuskan tiga elemen utama, iaitu semangat, kuasa dan seni menelusuri kefahaman dan fungsi logam sebagai medium, yang mempunyai nilai mistik, simbolik dan budaya, khususnya dalam konteks dunia Melayu.

“Keistimewaan pameran yang menghimpunkan buat kali pertama koleksi awal Muzium Perak yang bercirikan logam termasuk pelbagai artifak yang mempunyai nilai sejarah, estetika dan simbolisme yang tinggi.

"Selain koleksi milik Muzium Perak sendiri, pameran ini turut diperkayakan melalui kerjasama strategik bersama tokoh dan institusi, antaranya koleksi arca oleh Raja Syahriman Raja Aziddin, koleksi perhiasan perak daripada Yayasan Al-Amin serta koleksi senjata Melayu milik Nor Azahar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian pameran itu yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Sementara itu, Mohd Nasrulamiazam dalam ucapannya berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung ke pameran itu, dengan setakat ini hampir 20,000 pengunjung telah mengunjungi pameran berkenaan.

Antara koleksi yang dipamerkan ialah tumbuk lada berhulu kulit siput gewang, yang merupakan koleksi abad ke-19 milik Sultan Perak ke-26, Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II, pakaian pelindung pahlawan Bugis abad ke-18, set sudu dan garfu milik Raja Laut Ibni Sultan Muhammad Shah, iaitu putera kedua Sultan Selangor ketiga.

​Pameran itu adalah antara usaha berterusan Jabatan Muzium Malaysia dalam memperkasakan peranan muzium sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan pemeliharaan warisan negara, selain memberikan peluang kepada masyarakat untuk memahami nilai sejarah dan budaya yang terkandung dalam setiap koleksi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement