Skip to main content

Malaysia

DOSM pergiat persiapan laksana RUU Statistik 2026

logo Jabatan Perangkaan
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini mempergiat persediaan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 susulan kelulusan oleh Dewan Rakyat, semalam.

PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini mempergiat persediaan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 susulan kelulusan oleh Dewan Rakyat, semalam. 

Pejabat Ketua Perangkawan dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia termasuk memuktamadkan dokumen pelaksanaan dan memperkukuh penyelarasan dengan kementerian serta agensi berkaitan.

“Tumpuan DOSM ketika ini adalah untuk memastikan peralihan kepada kerangka perundangan baharu itu dapat dilaksanakan secara teratur melalui penyediaan instrumen pelaksanaan, penyelarasan antara agensi serta libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan.

“Tanggungjawab DOSM selepas ini adalah untuk menterjemahkan peruntukan undang-undang kepada mekanisme pelaksanaan yang jelas dan praktikal.

“Persediaan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan melibatkan kementerian, agensi dan pemilik data sektoral supaya setiap organisasi memahami peranan serta tanggungjawab masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Ketua Perangkawan memaklumkan dokumen sokongan pelaksanaan RUU itu, termasuk arahan tetap, pekeliling dan garis panduan berkaitan pengurusan statistik negara sedang dimuktamadkan.

“Dokumen ini akan memperincikan peranan pihak yang terlibat, kaedah penyelarasan, tanggungjawab dalam pengurusan data serta mekanisme yang perlu dipatuhi bagi tujuan penghasilan statistik rasmi.

“Penyediaan dokumen pelaksanaan ini akan memastikan prosedur yang digunakan kementerian dan agensi jelas, seragam serta selaras dengan keperluan perundangan, keselamatan data serta prinsip tadbir urus yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Pejabat Ketua Perangkawan memaklumkan pelan komunikasi bagi menjelaskan peruntukan utama RUU, implikasi kepada pengguna dan pembekal data serta manfaatnya kepada rakyat telah disediakan.

RUU Statistik 2026 diluluskan Dewan Rakyat semalam bagi memodenkan kerangka perundangan statistik negara dengan menggantikan Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).

Ia antara lain menyediakan asas perundangan yang lebih komprehensif bagi memperkukuh penyelarasan Sistem Statistik Negara, meningkatkan tadbir urus dan perkongsian data rasmi serta memperkukuh perlindungan data selaras dengan keperluan ekosistem data semasa.

Penggubalan RUU itu berpandukan saranan, garis panduan dan amalan terbaik antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Suruhanjaya Statistik PBB dan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Eropah.

 -- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement