KUALA LUMPUR: Negara yang mahu menerajui bidang kecerdasan buatan (AI) perlu membangunkan keupayaan domestik merentasi keseluruhan ekosistem AI, bukannya bergantung kepada teknologi yang dibangunkan pihak lain, kata Pengarah Urusan YTL Power International Bhd Datuk Seri Yeoh Seok Hong.
Dalam kenyataan semalam, Yeoh berkata persaingan AI global kini beralih daripada sekadar penggunaan teknologi kepada pembangunan infrastruktur serta kepakaran yang diperlukan untuk membina, melaksanakan dan mengawal teknologi AI.
"Persoalan sebenar ialah sama ada sesebuah negara hanya akan menggunakan AI yang dibangunkan pihak lain atau membina keupayaan sendiri untuk membangunkan, melaksanakan dan mengawal AI mengikut keperluannya.
"Malaysia sudah mempunyai asas kukuh. Negara ini antara segelintir negara yang memiliki keupayaan merangkumi lima lapisan utama AI iaitu tenaga, pusat data, pengkomputeran awan, model dan aplikasi, yang dibangunkan rakyat Malaysia untuk memenuhi keperluan tempatan. Ini meletakkan Malaysia pada kedudukan untuk menerajui ASEAN dan seterusnya," katanya.
Yeoh berkata peluang ketika ini adalah untuk rakyat Malaysia memanfaatkan sepenuhnya keupayaan tersebut dengan memperkukuh kerjasama antara industri, akademia dan kerajaan.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan akan membantu Malaysia berkembang menjadi negara dipacu AI yang mampu menentukan hala tuju teknologi sendiri.
Mengulas lima lapisan utama ekosistem AI itu, Yeoh berkata tenaga merupakan asas penting kerana proses melatih dan mengendalikan model AI canggih memerlukan bekalan elektrik yang besar serta berterusan.
"Gangguan bekalan boleh menyebabkan proses latihan model tertangguh selama beberapa hari. Negara yang bergantung kepada sumber tenaga luar bagi aspirasi AI akan mewarisi kebergantungan itu sebelum melibatkan sebarang cip atau model AI," katanya.
Beliau berkata pusat data pula menyediakan infrastruktur fizikal yang menukar tenaga kepada kapasiti pengkomputeran boleh guna, manakala lokasi pusat data menentukan peraturan yang mengawal perkakasan serta kepantasan kapasiti dapat dikembangkan.
Sementara itu, infrastruktur awan mengubah perkakasan pusat data kepada sumber pengkomputeran yang boleh disewa oleh syarikat dan penyelidik tanpa perlu memiliki atau mengurus mesin berkenaan.
"Kebanyakan negara dan syarikat menyewa lapisan ini daripada sebilangan kecil penyedia awan global kerana pembinaannya memerlukan modal besar serta pengesahan teknikal yang kukuh," katanya.
Yeoh berkata model asas (foundation models) pula menjadi teras kecerdasan dalam sistem AI dengan mentafsir permintaan pengguna dan menghasilkan respons.
"Jika sesuatu model dibangunkan dan ditadbir oleh syarikat asing, tingkah laku serta batasannya akan dipengaruhi oleh keutamaan syarikat berkenaan, yang lazimnya dibangunkan untuk pengguna global sebelum pasaran tempatan disesuaikan kemudian," katanya.
Beliau berkata aplikasi merupakan lapisan terakhir yang menterjemahkan keupayaan AI kepada perkhidmatan untuk pengguna akhir.
"Di Malaysia, penyatuan keupayaan itu sudah wujud menerusi pembangunan ejen AI autonomi, bank digital berkuasa AI dan penyedia telekomunikasi berteraskan AI, sekali gus membawa perkhidmatan AI secara langsung kepada jutaan pengguna," katanya.
-- BERNAMA