Skip to main content

Malaysia

Isu Network School: Lesen boleh dibatalkan jika langgar peraturan - Tunku Mahkota Ismail

Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN). -- FB HRH Crown Prince of Johor
Tunku Mahkota Ismail menegaskan, lesen atau permit operasi syarikat berkaitan Network School di Forest City berdepan risiko dibatalkan sekiranya didapati melanggar undang-undang, syarat lesen atau peraturan ditetapkan. - Gambar Facebook HRH Crown Prince of Johor

KUALA LUMPUR:

Lesen atau permit operasi syarikat berkaitan Network School di Forest City berdepan risiko dibatalkan sekiranya didapati melanggar undang-undang, syarat lesen atau peraturan ditetapkan.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, isu melibatkan Network School di Forest City yang dibangkitkan baru-baru ini akan diteliti menerusi siasatan terperinci oleh Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Baginda bertitah, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN),” titah baginda.

Bagaimanapun, baginda menegaskan, Kerajaan Negeri Johor dan PBT akan menjalankan siasatan bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

“Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di Johor,” titah baginda. 

Baginda turut menegaskan, tindakan berkenaan perlu diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan bagi memastikan kepentingan negeri Johor serta rakyat terus terpelihara.

Tindakan itu diambil berikutan kegagalan syarikat terbabit mematuhi syarat lesen perniagaan dan penggunaan premis, selain didapati menyalahgunakan pejabat urusan sebagai ruang aktiviti pendidikan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan yang mengaitkan kewujudan Network School di Forest City dengan agenda Israel untuk bertapak secara senyap di negara ini menerusi pelaburan mata wang.

 

Must Watch Video

Advertisement