Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: 103 calon sah bertanding rebut 36 kerusi DUN - SPR

PC SPR, PRN Negeri Sembilan
Ramlan berkata, SPR menerima dan mengesahkan sebanyak 103 kertas penamaan calon yang layak bertanding mewakili pelbagai parti politik serta calon Bebas. - Gambar/ Astro AWANI

SEREMBAN: Seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 selepas proses penamaan calon ditutup tepat jam 10 pagi, pada Sabtu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, SPR menerima dan mengesahkan sebanyak 103 kertas penamaan calon yang layak bertanding mewakili pelbagai parti politik serta calon Bebas.

“Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon, Perikatan Nasional (PN) 11 calon dan Bebas empat calon.

“Selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Sabtu.

Tambah Ramlan, tiada kertas penamaan calon ditolak sepanjang proses penamaan calon yang berlangsung di lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh Negeri Sembilan.

“Dari segi saingan, sebanyak 21 kerusi DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru, diikuti 11 kerusi satu lawan satu, manakala masing-masing dua kerusi melibatkan pertandingan empat penjuru dan lima penjuru.

“Daripada keseluruhan calon yang bertanding, seramai 94 ialah lelaki manakala sembilan lagi wanita,” jelasnya.

Mengikut pecahan umur pula, tiga calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, 12 calon (30 hingga 39 tahun), 39 calon (40 hingga 49 tahun), 33 calon (50 hingga 59 tahun) dan 16 calon berusia 60 tahun ke atas.

“Calon tertua ialah calon PH bagi DUN Gemencheh, Abd Latif A Tambi, berusia 70 tahun, manakala calon termuda ialah calon Bersatu bagi DUN Sri Tanjung, Leevineshwaraan Murugan yang berusia 23 tahun,” katanya.

Menurut Ramlan, tempoh rasmi berkempen bermula sebaik sahaja pengisytiharan pertandingan dibuat hari ini dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 31 Julai ini.

SPR turut menubuhkan 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh berkenaan.

“SPR berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya. 

Must Watch Video

Advertisement