Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Messi dan Mbappe dahului saingan rebut Anugerah Kasut Emas

Lionel Messi Kylian Mbappe -- REUTERS
Kapten Argentina Lionel Messi (kiri) dan kapten Perancis Kylian Mbappe (kanan) kini berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring dengan masing-masing lapan gol. REUTERS

LONDON: Perebutan Anugerah Kasut Emas Piala Dunia tahun ini dijangka memuncak apabila hanya berbaki dua perlawanan sebelum kejohanan melabuhkan tirainya, lapor PA Media/dpa.

Dua aksi terakhir itu bermula dengan perlawanan penentuan tempat ketiga antara England dan Perancis pada Sabtu, sebelum Sepanyol menentang Argentina pada perlawanan akhir pada Ahad.

Enam daripada tujuh penjaring terbanyak kejohanan dijadual beraksi pada hujung minggu ini.

Kapten Argentina Lionel Messi dan kapten Perancis Kylian Mbappe, kini berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring dengan masing-masing lapan gol.

Messi berada di hadapan berdasarkan kelebihan satu bantuan gol berbanding Mbappe.

Mbappe muncul penjaring terbanyak mengatasi Messi pada edisi 2022 dan kini berpeluang menjadi pemain pertama memenangi Anugerah Kasut Emas sebanyak dua kali.

Kedua-dua pemain itu turut mendahului senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, dengan Messi mengumpul 21 gol manakala Mbappe 20 gol.

Dua pemain England Jude Bellingham dan Harry Kane, turut berpeluang memperbaiki kedudukan selepas masing-masing menjaringkan enam gol setakat ini.

Mereka dipisahkan daripada dua pendahulu itu oleh Erling Haaland, yang meledak tujuh gol untuk Norway sebelum pasukannya tersingkir kepada England pada peringkat suku akhir.

Penyerang Perancis, Ousmane Dembele dan penyerang Sepanyol Mikel Oyarzabal, juga masih berpeluang merebut anugerah itu selepas masing-masing menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement