PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan seorang warga Malaysia meninggal dunia ketika mendaki Gunung Elbrus di Rusia pada Sabtu (11 Julai).
Dalam satu kenyataan pada Ahad, kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa mangsa merupakan sebahagian daripada tiga warga Malaysia yang menyertai ekspedisi pendakian Gunung Elbrus anjuran sebuah pengendali tempatan.
"Kedutaan Besar Malaysia di Moscow telah menghubungi keluarga mangsa di Malaysia serta dua lagi warga Malaysia yang menyertai ekspedisi itu bagi menyelaraskan semua urusan yang diperlukan dan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada pihak keluarga," menurut kenyataan itu pada Ahad.
Wisma Putra menyatakan pihak kedutaan akan terus berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan di Rusia dan memantau perkembangan kes berkenaan, di samping memberikan bantuan konsular yang diperlukan bagi memastikan semua urusan berkaitan berjalan lancar.
Pihak kementerian turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.
Gunung Elbrus yang terletak di selatan Rusia mempunyai ketinggian 5,642 meter dan merupakan gunung tertinggi di Eropah serta destinasi popular bagi pendaki gunung dari seluruh dunia.
-- BERNAMA