Skip to main content

Politik

PRN Johor: Nga Kor Ming enggan ulas desakan letak jawatan

[TB]_Nga Kor Ming_Astro AWANI
Kor Ming pada majlis penyampaian bantuan wang ihsan kepada 554 mangsa ribut di Bercham, di sini, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI

IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming enggan mengulas mengenai isu peletakan jawatan beliau ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperolehi kemenangan besar.

Setelah didesak beberapa kali oleh pemberita ketika bertemu beliau hari ini, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu berkata, beliau kekal komited untuk bekerja, berkhidmat dan berjasa kepada rakyat.

Beliau juga enggan mengulas mengenai keputusan PRN Johor dan berkata mahu memberi fokus kepada program bantuan kepada mangsa ribut di Bercham.

“Kita hari ini datang untuk serahkan (bantuan) okey... bantuan wang ihsan RM1 juta kepada 554 keluarga dari Bercham.

“Ini tanda keprihatinan Kerajaan MADANI yang menjaga rakyat dan fokus kepada kesejahteraan rakyat berbilang kaum tanpa mengira latar belakang.

“Usaha murni sedemikian patut kita berikan dan fokus kepada keprihatinan.

“Saya kekal komited untuk bekerja, berkhidmat dan berjasa kepada rakyat. Ini adalah komitmen saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan wang ihsan kepada 554 mangsa ribut di Bercham, di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, hatinya bersama dengan rakyat dan boleh merasakan keperitan dan kesusahan mereka.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar isu-isu mengenai kesejahteraan rakyat diberi tumpuan dan mengelakkan isu-isu lain.

Pada PRN Johor, BN berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar.

DAP pula tewas di 11 daripada 17 kerusi ditandingi termasuk kehilangan empat DUN yang disandang sebelum ini iaitu Johor Jaya, Tangkak, Jementah dan Perling apabila ia dirampas parti komponen BN iaitu MCA serta MIC.

Baru-baru ini, dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Kor Ming dilapor berkata, akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya BN menang dalam PRN Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Menurutnya, DAP juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan ‘garis merah’ parti tersebut.

Susulan itu, banyak pihak termasuk dari UMNO dan Pas dilapor mendesak Kor Ming meletak jawatan.

Must Watch Video

Advertisement