Skip to main content

Malaysia

Presiden Singapura bakal adakan lawatan negara tiga hari ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 13 hingga 15 Julai ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ini merupakan lawatan negara pertama Tharman ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai presiden kesembilan Singapura pada 14 Sept 2023. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 13 hingga 15 Julai ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Kementerian Luar memaklumkan lawatan itu sebagai membalas lawatan negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.

“Lawatan peringkat tinggi itu menggariskan perkongsian kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara, mencerminkan kerjasama yang semakin mendalam merentasi bidang utama kepentingan bersama,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ini merupakan lawatan negara pertama Tharman ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai presiden kesembilan Singapura pada 14 Sept 2023.

Presiden akan diiringi isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam, serta beberapa menteri dan pegawai kanan.

Dalam lawatan itu, Tharman akan diberi Istiadat Sambutan Rasmi sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Tharman dan delegasinya juga akan menghadiri Majlis Jamuan Negara. Presiden turut dijadual menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kementerian itu, Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (US$93.97 bilion) pada 2025, mewakili peningkatan 1.5 peratus berbanding 2024.

Dari Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan dua hala meningkat 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (US$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (US$37.65 bilion) dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement