Skip to main content

Dunia

Rakyat Malaysia selamat, dedah situasi terkini di Iran ketika hadapi serangan AS

Mourners gather around a vehicle transporting the coffin of Iran's late Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei, who was killed on February 28 in Israeli and U.S. airstrikes, and coffins of his family members, on the day of his burial, in a culmination of a mass funeral, in Mashhad, Iran, July 9, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. ISRAEL OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN ISRAEL. NO ACCESS FOR ISRAELI MEDIA. NO
Saiful berkata, serangan yang dilakukan kebanyakannya tertumpu di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan pusat radar atau kemudahan ketenteraan dan tidak banyak melibatkan kawasan awam. - Gambar Reuters

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di Iran dilaporkan selamat meskipun ketegangan antara republik Islam itu dengan Amerika Syarikat (AS) kembali memuncak sejak awal Julai.

Pemerhati Geopolitik, Saiful Sidek Abdullah berkata, kehidupan harian masyarakat di beberapa bandar utama termasuk Tehran, Mashhad dan Qom masih berjalan seperti biasa.

Saiful yang kini berada di Qom menjelaskan, beliau tidak berdepan sebarang ancaman keselamatan sepanjang berada di ketiga-tiga bandar berkenaan.

“Alhamdulillah, saya dan rakyat Malaysia yang berada di sini semuanya selamat. Saya berada di Qom, sebelum ini di Mashhad dan Tehran, tidak ada apa-apa berlaku.

“Serangan yang berlaku baru-baru ini tertumpu di Bandar Abbas, di sebelah selatan Iran,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut Saiful, beliau diundang ke Iran bersama lebih 100 pempengaruh media sosial yang aktif membicarakan isu berkaitan Iran dan Gaza pada 1 Julai lalu.

Kunjungan itu bertujuan membuat liputan mengenai situasi semasa di negara berkenaan, selain mengikuti upacara penghormatan terakhir dan pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Allahyarham Ayatollah Sayyid Ali Khamenei.

Saiful berkata, berdasarkan pemerhatiannya serta perbualan dengan penduduk tempatan, masyarakat Iran terus menjalani kehidupan seperti biasa meskipun konflik telah berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

“Walaupun ketika perang, keadaan rakyat Iran masih seperti biasa. Serangan yang dilakukan kebanyakannya tertumpu di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan pusat radar atau kemudahan ketenteraan.

“Tidak banyak serangan yang melibatkan kawasan awam,” ujarnya.

Bagaimanapun, beberapa laporan media antarabangsa menyatakan, kemudahan komersial dan perikanan turut terkena serangan di kawasan pesisir selatan Iran, walaupun AS menegaskan operasinya menyasarkan aset ketenteraan.

Ketegangan antara AS dan Iran kembali meningkat pada 7 Julai selepas beberapa insiden membabitkan kapal dagang di Selat Hormuz.

Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) kemudian mengumumkan serangan terhadap beberapa sasaran ketenteraan Iran yang didakwa digunakan untuk mengancam kebebasan pelayaran di laluan strategik berkenaan.

Media Iran melaporkan letupan berlaku di bandar pelabuhan Sirik, Bandar Abbas dan Pulau Qeshm, termasuk di beberapa jeti komersial serta perikanan.

Gelombang serangan seterusnya turut menyasarkan kawasan pesisir Iran, termasuk kemudahan berhampiran Bandar Abbas, Konarak, Chabahar dan Pulau Kharg yang menjadi hab utama eksport minyak negara itu.

Konflik semakin meruncing pada 11 Julai apabila tentera AS melancarkan serangan lebih besar terhadap kira-kira 140 sasaran, termasuk tapak peluru berpandu dan dron, aset tentera laut, depot peluru serta sistem pemantauan pantai Iran.

Iran kemudian membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah lokasi yang dikaitkan dengan aset ketenteraan AS di beberapa negara rantau Teluk, termasuk Kuwait, Bahrain, Qatar, Oman dan Jordan.

Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan konflik berkenaan akan terus merebak, sekali gus mengancam keselamatan negara serantau serta pergerakan kapal perdagangan antarabangsa melalui Selat Hormuz.

Must Watch Video

Advertisement