KUALA LUMPUR: Nga Kor Ming menegaskan beliau hanya akan meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal, walaupun telah disabitkan bersalah.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, pendirian itu bukan bersifat peribadi, sebaliknya berlandaskan prinsip mempertahankan kewibawaan sistem kehakiman negara.
“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota jemaah Menteri.
“Perkara ini tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia merupakan satu soal prinsip utama,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau menjelaskan kenyataan berhubung kesediaannya melepaskan jawatan sebelum ini dibuat menerusi satu wawancara eksklusif bersama Oriental Daily, namun didakwa telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
Menurut Kor Ming, sebagai seorang peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, beliau konsisten dengan pendirian bahawa integriti serta kewibawaan institusi kehakiman negara mesti dipertahankan.
“Jika Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal dengan kesalahan walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai.
“Prinsip kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub dalam Rukun Negara juga tidak lagi dihormati,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Kor Ming turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Johor dan menyifatkan kemenangan majoriti dua pertiga itu sebagai amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi, petugas dan sukarelawan yang menyokong Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen pilihan raya berkenaan.
Walaupun gagal memenangi pilihan raya kali ini, Kor Ming berkata PH akan terus bekerja keras dan berbakti kepada rakyat serta negara.
“Walaupun kami tidak menang kali ini, esok masih ada. PH tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat dan berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan menggesa Kor Ming meletakkan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan susulan kenyataannya berhubung isu tersebut.
Akmal turut menyatakan kesediaan untuk membantu menyediakan surat peletakan jawatan Nga sekiranya menteri berkenaan mahu berbuat demikian.