LOS ANGELES: Pelakon dan pelakon suara Amerika Syarikat, Daveigh Chase, yang terkenal menerusi watak Samara Morgan dalam filem seram 'The Ring' serta suara Lilo dalam filem animasi Disney 'Lilo & Stitch', meninggal dunia akibat sindrom imunodefisiensi diperoleh (AIDS), menurut laporan Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles.
Chase, yang nama sebenarnya Daveigh Schwallier, meninggal dunia pada 16 Jun pada usia 35 tahun.
Laporan pemeriksa perubatan turut menyenaraikan penggunaan kronik pelbagai bahan terlarang sebagai faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kesihatannya.
Walaupun punca rasmi kematian dikenal pasti sebagai AIDS, laporan awal selepas kematiannya menyatakan beliau mengalami komplikasi akibat meningitis, jangkitan darah dan sepsis semasa menerima rawatan di sebuah hospital di Los Angeles.
Menurut bapanya, John Schwallier, Chase dilaporkan hidup dalam keadaan serba kekurangan dan pernah tidak mempunyai tempat tinggal tetap di Los Angeles sebelum kematiannya.
Chase memulakan kerjaya lakonan sejak kecil dan mula dikenali menerusi beberapa siri televisyen popular seperti 'Sabrina the Teenage Witch', 'ER', 'Charmed' dan 'The Practice'.
Namanya mula mendapat perhatian meluas pada tahun 2001 apabila membintangi filem kultus 'Donnie Darko' sebagai Samantha Darko.
Pada tahun yang sama, beliau turut menyumbangkan suara untuk watak Chihiro dalam versi bahasa Inggeris filem animasi Jepun terkenal 'Spirited Away'.
Tahun 2002 menyaksikan Chase mencapai kemuncak populariti apabila meminjamkan suara kepada watak Lilo Pelekai dalam filem animasi Disney 'Lilo & Stitch'.
Persembahan tersebut membolehkannya memenangi Anugerah Annie bagi kategori lakonan suara terbaik dan beliau terus menyuarakan watak itu dalam beberapa siri serta sekuel francais berkenaan.
Pada tahun yang sama, beliau turut membintangi filem seram 'The Ring' sebagai Samara Morgan, watak kanak-kanak misteri yang menjadi ikon genre seram moden.
Peranannya sebagai Samara membantu mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon kanak-kanak paling berjaya pada awal 2000-an.
Selain itu, Chase juga dikenali menerusi watak Rhonda Volmer dalam siri HBO 'Big Love', yang disiarkan dari 2006 hingga 2011.
Selepas beberapa penampilan filem dan televisyen, Chase dilaporkan mula menjauhkan diri daripada dunia hiburan sekitar 2015 dan jarang muncul di khalayak ramai.
Kredit lakonan terakhirnya direkodkan pada 2016.
Pemergian Chase mengundang kesedihan dalam kalangan peminat yang membesar dengan karya-karyanya, khususnya menerusi 'Lilo & Stitch' dan 'The Ring', yang kekal sebagai antara peranan paling ikonik sepanjang kerjayanya.